arena

Pasukan Liga M3 tenat

Oleh Izzali Ismail

PERSEKITARAN ekonomi yang perlahan akibat pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan besar terhadap kemampuan kewangan kelab kecil yang beraksi di Liga M3 pada masa ini.

Perkara itu diluahkan Pengurus Pasukan Langkawi City FC (LCFC) Mohd Noor Mohd Amin yang mengganggap situasi semasa ketika ini memberi tamparan hebat buat pasukannya dan juga kebanyakan kelab kecil dalam Liga M3 untuk meneruskan aksi pada musim ini.

"Kami faham akibat pandemik yang berlaku ini memang di luar jangkaan kita semua dan boleh memberi kesan negatif khususnya pembayaran gaji pemain dan pegawai kerana kebanyakan pasukan dalam liga M3 ini adalah pasukan kecil dan berisiko besar menghadapi masalah kewangan.

"Kami juga sedar kebanyakan pasukan Liga M3 juga bergantung kepada sumber ekonomi daripada pihak penaja masing-masing yang turut terkesan dalam kegawatan ekonomi pada masa ini.

"Jadi seandainya selepas tempoh PKP ini tamat dan perlawanan masih tidak dapat tidak dapat diteruskan, saya mencadangkan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan pertandingan Liga M3 pada tahun ini.

"Namun jika cadangan pihak FAM dan MFL untuk memulakan Liga M pada September tahun ini diluluskan kerajaan, kelab kecil seperti kami dalam Liga M3 perlulah membuat perancangan lebih awal untuk memastikan semua aspek terutama kewangan dan gaji dapat dirancang dan diuruskan dengan baik," katanya.

Mohd Noor juga berkata, pihaknya sedang menanti dengan penuh debaran pengumuman yang akan dibuat oleh FAM dan MFL pada Jun ini kerana Liga M3 kelolaan Amateur Football League (AFL) itu terdapat banyak faktor yang perlu dikaji.

"Saya yakin FAM dan MFL akan tampil dengan cadangan terbaik mereka kepada pihak kerajaan selepas melihat setiap aspek yang tidak akan memudaratkan semua pihak.

"Hanya doa dan harapan yang kita panjatkan ke hadrat Allah mudah-mudahan virus bahaya ini akan berakhir supaya sektor ekonomi, pendidikan, pelancongan dan sebagainya dapat kembali pulih seperti sediakala dalam tempoh lebih cepat," katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 7:19pm
d