arena

Mun Yee tunggu kebenaran berlatih

Oleh Aida Adilah Mat

PENERJUN negara Leong Mun Yee kini menunggu lampu hijau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung garis panduan untuk atlet turun menjalani latihan.

Ia susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan rakyat untuk menjalankan aktiviti seperti berjoging, bermain tenis atau badminton tidak melebihi 10 orang di luar rumah.

Bagi Mun Yee, apa sahaja keputusan akan dipatuhi kerana aspek keselamatan perlu diberi keutamaan dan misi utama adalah beraksi di temasya Olimpik Tokyo dalam keadaan terbaik.

"Saya sudah berhubung dengan pegawai penyelaras mengenai kebenaran untuk berlatih bagaimanapun masih belum ada sebarang kata putus dan perlu tunggu lagi keputusan daripada KBS atau MSN.

"Saya harap dapat kembali berlatih seperti biasa di gim kering ataupun kolam sebab kalau dalam terjun, latihan di kolam dan gim kering itu penting, tak boleh lama sangat tak buat," katanya.

Mun Yee yang akan membuat penampilan kelima di temasya Olimpik Tokyo tahun depan bagaimanapun menyambut baik kebenaran untuk keluar rumah menjalankan aktiviti riadah.

Mun Yee yang mendapat slot ke Olimpik selepas meraih pingat perak dalam acara 10m seirama bersama Pandelela Rinong di Kejohanan Terjun Dunia di Gwangju, Korea Selatan tahun lalu berkata, biar apapun keputusan yang akan dibuat, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan.

Dia bersama Pandelela sebelum ini menjalani latihan pusat di China Januari lalu sebelum meraih perak di Kejohanan Terjun Siri Dunia di Kanada pada Februari.

Untuk rekod hingga ketika ini seramai empat penerjun negara terdiri Mun Yee, Pendelela, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri berjaya melayakkan diri ke temasya berkenaan ketika penerjun lelaki negara masih bergelut untuk merebut tempat.

Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 9:40pm
d