arena

Murray setuju ATP, WTA bergabung

Oleh Agensi

ANDY Murray menyokong cadangan Roger Federer untuk menggabungkan jelajah lelaki dan wanita dan merasakan ramai pemain lain menganggap ia satu perkara yang positif bagi sukan tenis.

"Apabila anda mempunyai ramai pemain lelaki yang hebat sekarang dan mula membincangkan mengenai perkara ini, ia menunjukkan satu petanda sihat.

"Ia sangat penting bukan hanya untuk melihat gabungan ini dari kaca mata pemain lelaki tapi membawa ramai wanita dalam posisi pembuat keputusan, jadi setiap suara dapat dilontarkan," kata juara dua kali Wimbledon itu yang pernah dilatih oleh Amelie Mauresmo.

Visi untuk menggabungkan dua jelajah berkenaan sudah diperdebatkan sejak berdekad yang lalu, sebelum ia dibangkitkan semula oleh juara Grand Slam 20 kali, Federer bulan lalu.

"Hanya terfikir, adakah saya seorang saja merasakan ini adalah masanya tenis lelaki dan wanita bergabung?," katanya.

Jelajah ATP menawarkan lebih banyak wang hadiah kemenangan berbanding Jelajah Wanita.

Ia tidak mengejutkan apabila topik ini mendapat pelbagai pendapat, dengan Rafael Nadal adalah antara yang menyokong usaha berkenaan, manakala Nick Kyrgios pula menolak.

Billie Jean King memulakan kempen untuk menggabungkan jelajah lelaki dan wanita sejak beliau menubuhkan Persatuan Tenis Wanita pada 1973 namun baru sekarang ia nampak seperti pemain lelaki sudah bersetuju untuk bergabung.

"Saya berpeluang untuk bersembang dengan Roger dan dia berkata sebab utama timbul perkara berkenaan ialah kerana dia akhirnya mempunyai sedikit masa dan ruang untuk memikirkan mengenai sukan berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 2:52pm
d