arena

Dembele berminat sertai United

Oleh Agensi

PENYERANG Lyon, Moussa Dembele merasakan ia sangat sukar untuk menolak pelawaan ke Manchester United, lapor Manchester Evening News.

Pemain antarabangsa Perancis itu menyertai Ligue 1 dari Celtic pada pertengahan 2018 dan sejak itu dia sudah menyumbang 44 gol, 13 hantaran menghasilkan jaringan dalam 88 penampilan bagi semua kejohanan.

Menurut Manchester Evening News. pemain berusia 23 tahun itu tetap mengagumi Red Devils dan akan tergoda dengan prospek menyertai kelab itu pada hujung kempen.

Bagaimanapun, United tidak menganggap dia sebagai pilihan buat masa sekarang dan perpindahan bergantung kepada keputusan yang akan dibuat pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

United, selalunya menggunakan analisis video untuk mengenalpasti penyerang sasarannya namun sejak kebelakangan ini mereka lebih menggunakan data dan menambah penyerang RB Leipzig, Timo Werner berada dalam senarai mereka.

Solskjaer banyak bergantung kepada Anthony Martial untuk mengetuai bahagian serangan musim ini, manakala Marcus Rasford dan Mason Greenwood, yang juga mampu bermain sebagai penyerang, diletakkan di sayap kanan atau kiri.

Dembele, yang setakat ini sudah menjaringkan 22 gol, dianggarkan bernilai £36 juta (RM193) seperti yang dinyatakan Transfermarkt.

Sebelum ini Dembele pernah beraksi selama empat tahun dengan Fulham iaitu dari 2012 hingga 2016 sebelum dia berpindah ke Celtic.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 3:31pm
d