arena

Patah jari tak patahkan semangat buru emas

Oleh Mohd Rafi Mamat

WALAUPUN sedang menjalani ibadah puasa namun bagi mengekalkan kecergasan serta rentak kayuhan yang konsisten, latihan setiap pagi dan petang tetap dilakukan setiap hari.

Rutin harian mencabar itu dilalui atlet berbasikal Pahang yang semakin meningkat, Nia Vanessa Suhana Zaidi yang terbabit dalam acara basikal bukit disiplin 'downhill'.

Menurutnya, dia perlu sentiasa cergas dan bersedia sebagai persiapan bersaing pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang akan dijangka diadakan Mac tahun depan selepas ditunda tahun ini.

Katanya, dia akan berusaha untuk meraih pingat emas untuk pasukan basikal Pahang dalam acara kegemarannya terutama selepas hanya mampu meraih pingat perak pada Sukma 2018 dan gangsa Sukma 2016.

"Saya mula terbabit secara serius dalam disiplin 'downhill' sejak lima tahun selepas terpengaruh dengan beberapa rakan yang aktif dalam sukan mencabar itu, sebelum itu menyertai acara kayak selama dua tahun.

"Tidak dinafikan sukan basikal gunung terutama disiplin 'downhill' banyak cabarannya, kecederaan boleh dianggap biasa dialami apabila terjatuh dan terkena kayu serta batu.

"Saya pernah mengalami dua kecederaan serius pada buah pinggang selepas terjatuh ketika saingan Asian Mountain Bike di Keningau, Sabah 2017. Tahun lalu jari manis saya patah ketika latihan di Bukit Pelindung, Kuantan," katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Dia yang kini sedang melanjutkan pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sukan dan Rekreasi) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi berkata, sukan basikal lasak antara aktiviti yang dapat memberi kepuasan pada dirinya walaupun merbahaya.

Nia Vanessa Suhana berkata, tahun lalu dia menyertai sebanyak 10 pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa namun tahun dia hanya sempat bersaing di tiga kejohanan sahaja.

Katanya, impian yang ingin dicapai pada Sukma Johor nanti ialah untuk membawa pulang pingat emas untuk kontijen Pahang, sebelum meninggalkan gelanggang Sukma kejayaan berkenaan perlu dibuktikan kepada semua pihak.

"Saya ingin buktikan kepada keluarga, jurulatih dan rakan bahawa saya mampu membawa pulang kejayaan tertinggi untuk Tok Gajah yang pasti inginkan pencapaian terbaik dilakukan selepas kehadiran jurulatih berpengalaman Yoga Anugraha dari Indonesia.

"Saya tidak akan mensia-siakan harapan menggunung itu, usaha yang lebih kuat dan bersemangat akan terus dilakukan walaupun terpaksa berkorban sepanjang Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 7:06pm
d