arena

Akademi badminton 'tenat'

Oleh Syazwan Msar

KERUGIAN yang dicatatkan sukan badminton tidaklah sebesar bola sepak namun impak Covid-19 sebenarnya menimbulkan kebimbangan lain apabila beberapa 'kilang' yang melahirkan pemain muda berdepan risiko gulung tikar dalam waktu terdekat ini.

Setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya lima akademi badminton dikhabarkan tidak boleh beroperasi atau terpaksa ditutup berikutan Covid-19, sekali gus menyaksikan usaha melahirkan pemain pelapis pada masa akan datang terbantut.

Malah, kebanyakan pemilik akademi badminton sudah mula menyuarakan masalah terbabit kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mendapat bantuan sewajarnya atau mereka terpaksa menyerah kalah daripada meneruskan usaha berkenaan.

Ia diakui Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria apabila pandemik Covid-19 memberi kesan pada masa akan datang merangkumi program pembangunan akar umbi di akademi badminton di seluruh negara.

Beliau berkata, badminton tidak mengalami kerugian yang besar berikutan tidak banyak penganjuran kejohanan berbentuk liga di negara ini.

"Lain pula yang melanda BAM apabila kami sekarang ini bimbang situasi yang melanda terhadap akademi badminton apabila semakin tenat dan ada pula terpaksa ditutup.

"Akademi badminton menjadi medium penting dalam melahirkan pemain mewakili negara pada masa depan dan jika ini terus berlaku mungkin akan ada masalah nanti," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Norza berkata, industri badminton negara turut terjejas dan mengalami kerugian berikutan pembatalan beberapa kejohanan yang sudah dirancang sebelum ini.

"Perkara utama memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan seperti dirancang dan BAM sentiasa memantau perkembangan akademi badminton terutama yang terjejas akibat Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 6:00am
d