arena

Ozil derma RM429,818 kepada rakyat Turki, Syria

Oleh Agensi

MESUT Ozil menunjukkan sikap pemurahnya sekali lagi apabila mendermakan £80,000 (RM429,818) bagi membantu umat Islam yang terkesan kerana pandemik Covid-19 sepanjang Ramadan.

Agensi kebajikan Turkish Red Crescent kini boleh memberi iftar - jamuan makanan bagi umat Islam berbuka puasa kepada keluarga sekitar Turki dan Syria dengan 2,000 paket dijangka didermakan.

Wakil Turkish Red Crescent, Kerem Kinik, berkata : "Di Red Crescent, kami sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan setiap hari.

"Sudah tentu, kami berterima kasih kepada rakan penderma yang pemurah hati termasuk mereka yang sentiasa mengikuti aktiviti kami. Lebih banyak sumbang, lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada golongan berkenaan.

"Terima Kasih kepada sahabat kami Mesut, kami dapat mengedarkan paket makanan untuk mereka yang memerlukan secepat yang mungkin.

Pemain kebangsaan Jerman yang menganut agama Islam dan mempunyai darah keturunan Turki itu dilaporkan membayar kos pembiayaan 1,000 kanak-kanak dan menyediakan makanan kepada 100,000 gelandangan.

Ozil antara bintang Arsenal yang memperoleh pendapat tinggi selepas ditandatangani dari Real Madrid untuk £42.5 juta (RM228 juta) enam tahun lalu.

Perancang tengah itu mencetus kontroversi minggu lalu apabila menjadi salah seorang daripada tiga pemain yang tidak mahu menerima cadangan pemotongan gaji membabitkan keseluruhan pasukan Arsenal bagi membantu kewangan pasukan yang berdepan krisis Covid-19.

Arsenal mengesahkan sebagai kelab pertama Liga Perdana yang bersetuju dengan pemotongan gaji kecuali membabitkan beberapa pemain. Ia membabitkan pemotongan sekitar 12.5 peratus sehingga Mac 2021.

Difahamkan Ozil bersetuju mengurangkan gajinya selepas impak kewangan daripada pandemik kembali reda.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 10:19am
d