arena

Kurang tekanan buat pengadil

Oleh Nazri Abu Bakar

SAINGAN tanpa penonton kurang memberi tekanan kepada pengadil perlawanan namun situasi terbabit tetap menyaksikan tugasan yang dilakukan memerlukan fokus yang tinggi.

Bekas pemain Piala Malaysia, skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1980-1983 Yunos Baba, 61 yang juga bekas pengadil Liga Malaysia awal 1990-an berkata, tanpa kehadiran penyokong sememangnya kurang menarik dan hilang nikmat keseronokan bermain dalam kalangan pemain serta pengadil.

Bagaimanapun, ianya terpaksa dilalui selepas perancangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga M) pada September.

Katanya, semua perlu akur dengan situasi semasa dan pandemik Covid-19 yang mengekang pergerakan normal perhimpunan ramai seperti sebelum ini, begitu juga kepada pengadil yang lebih teruja jika terdapat kehadiran pemain ke-12 di tepi gelanggang.

Menurutnya, sebagai bekas pemain dan pengadil beliau memperoleh kedua-dua nikmat berkenaan yang amat teruja jika terdapat ribuan penyokong berbanding jumlah yang sedikit lebih- lebih lagi tanpa penyokong.

"Kebiasaan tugas cemerlang pengadil juga bergantung kepada sorakan penyokong menyebabkan semangat itu amat membuak dan lebih mencabar untuk memastikan perjalanan aksi berlangsung penuh adil buat kedua-dua pasukan dan penyokong mereka.

"Tanpa penyokong situasi kurang menekan walaupun tekanan juga hadir daripada pemain dan pegawai pasukan di tepi padang. Secara logiknya jika berada dengan jumlah sedikit berbanding dengan puluhan ribu amat berbeza dan ianya tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun,"katanya yang pernah menikmati situasi berkenaan.

Yunos berkata, kesilapan dan sebarang insiden juga boleh dipengaruhi dengan sorakan dan provokasi penonton namun situasi tanpa peminat menyaksikan elemen itu jelas amat berkurangan.

Bagaimanapun, sebagai pengadil sama ada tiada penonton atau ribuan yang hadir bukan masalah kerana mereka amat memfokuskan pergerakan bola, pemain dan setiap saat permainan.

Bekas pemain kelab Kwong Yik Bank pada aksi Liga Selangor 1980-an Zukapli Haron, 56 yang juga mantan pengadil Liga Melaka pula berkata, tanpa kehadiran penyokong sememangnya kurang menarik dan hilang nikmat keseronokan bermain dalam kalangan pemain juga pengadil.

Keseluruhan katanya, permainan tanpa penonton memberi impak positif dan negatif termasuk aksi hambar selain aksi terbaik daripada pengadil dan pemain juga tidak seperti dengan kehadiran penyokong.

Apapun, sebagai pengadil semua situasi perlu dihadapi dengan tenang, tegas dan adil walau dimana venue atau situasi sekali pun.

Zulkapli berkata, apapun beliau melihat ianya kurang mencabar dan hilang seri berikutan kehadiran penyokong adalah intipati asam garam bola sepak yang menarik untuk dinikmati, namun semua pihak jelas akur dengan situasi semasa.

Malah baginya, jika pandemik pulih dengan segera tidak mustahil kemungkinan penonton dibenarkan masuk dengan jumlah bilangan yang kecil bakal diberikan namun perlu memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 7:29pm
d