arena

UKM FC sifatkan cabaran menarik

Oleh Mohd Amin Jalil

"FORMAT perlawanan satu pusingan sememangnya menarik kerana ia mampu menguji keupayaan sebenar setiap pasukan yang bersaing sama ada dalam Liga Super mahupun Liga Perdana," kata ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengeluarkan kenyataan baru-baru ini bahawa pihak MFL merancang untuk menyambung semula Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dengan format berbeza.

Liga Super dan Liga Perdana akan disambung pada 1 hingga 27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga tanpa penonton.

Sulaiman berkata, menerusi format baharu itu, mana-mana pasukan yang bijak mengambil kesempatan mampu menamatkan saingan Liga M musim ini dengan jayanya kerana format perlawanan satu pusingan sememangnya suatu cabaran besar.

Menurutnya, setiap pasukan perlu ambil serius terhadap semua baki perlawanan yang bakal dihadapi kerana mereka tidak berpeluang untuk menebus sebarang kesilapan pada perlawanan berikutnya.

"Kalau sebelum ini, kita masih boleh menebus kesilapan pada perlawanan timbal balik tetapi kali ini tidak berpeluang jika mengambil kira format baharu ini.

"Setiap pasukan perlu fokus 100 peratus pada setiap perlawanan jika mahukan kemenangan.

"Mana-mana pasukan yang dapat mengambil kesempatan dan mampu menguasai perlawanan, pastinya hajat mereka untuk mengungguli saingan liga boleh direalisasikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sulaiman berkata, skuad bimbingannya akan membuat persiapan rapi dalam menuju ke arah itu walaupun pergerakan terbatas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak Coid-19.

Menurutnya, selain memastikan setiap pemain berada pada tahap kecergasan terbaik, beliau juga akan memastikan kekuatan skuad bimbingannya itu lebih baik berbanding tiga perlawanan yang sudah dilalui pada peringkat awal liga sebelum ini.

Katanya, pemain UKM akan dipastikan berada pada tahap prestasi terbaik sebelum liga bersambung September nanti.

"Mereka perlu tunjuk prestasi terbaik dalam semua baki lapan perlawanan untuk mengutip mata tertinggi.

"Walaupun sasaran yang kami tetapkan musim ini bukan untuk ke Liga Super musim depan, sebaliknya memadai sekadar layak beraksi dalam Piala Malaysia, tetapi dengan format baharu ini, impian disasarkan itu sukar dijangka.

"Justeru, UKM akan ambil langkah proaktif dan bersiap sedia dari sekarang untuk memastikan kami mampu mengharungi saingan getir itu nanti dengan baik serta mampu merealisasikan apa yang kami ingin capai musim ini," kata Sulaiman.

Sulaiman berkata, skuad kendaliannya setakat ini sudah merakamkan satu kemenangan dan satu seri daripada tiga perlawanan Liga Perdana 2020.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 8:11pm
d