arena

Berguru dengan Rashid di alam maya

Oleh Mohd Rafi Mamat

MEMBAWA pulang pingat emas pada saingan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 tahun depan menjadi sasaran utama atlet badminton junior kebangsaan, Nur Syaza Roshidi.

Selepas hanya mampu merangkul pingat gangsa berpasukan pada Sukma Perak 2018 untuk kontijen Kedah, pemburuan kejayaan yang lebih membanggakan kini sedang giat dilakukan.

Katanya, walaupun tidak dapat turun ke gelanggang mengikut latihan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun latihan di rumah tetap dilakukan secara berterusan mengikut jadual yang disediakan jurulatih Rashid Sidek.

"Setiap hari saya meluangkan masa enam jam untuk latihan yang diadakan pada waktu pagi dan petang, walaupun penat namun ia tetap perlu dilakukan demi kejayaan diidamkan pada Sukma Johor tahun depan.

"Rakaman video latihan akan hantar kepada jurulatih (Rashid) bagi tujuan penilaian selain untuk perbetulkan sekiranya ada kesilapan yang dilakukan," katanya yang berasal dari Alor Star, Kedah.

Beliau yang kini sedang menyambung pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sukan dan Rekreasi) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi berkata, Sukma Johor merupakan Sukma yang ketiga disertai membawa cabaran kontinjen Kedah.

Nur Syaza menambah, dia kini berada dibawah pasukan pelapis kebangsaan selain turut mengikuti Program Kementerian Pendidikan Tinggi sukan badminton kendalian jurulatih Rashid yang turut membabit beberapa pemain lain.

Katanya, sejak mendapat bimbingan jurulatih Rashid permainannya semakin baik dan berkesan, banyak teknik permainan badminton yang sebenar dapat dipelajari secara berperingkat.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, dia begitu tertarik dengan corak permainan jurulatih Rashid ketika zaman kegemilangan jaguh kebangsaan itu, faktor berkenaan membolehkan dia mengikut cara permainan bekas pemain kebangsaan itu.

Beliau yang mampu beraksi dalam acara perseorangan dan beregu berkata, tahun lalu dia hanya dapat menyertai tujuh kejohanan peringkat kebangsaan membawa cabaran pasukan Kedah dan UKM.

"Disebabkan terpaksa membahagikan masa dengan pelajaran tahun ini saya hanya sempat menyertai satu kejohanan tahun ini, tumpuan juga lebih kepada persiapan Sukma Johor yang terpaksa ditunda ke tahun depan.

"Sokongan keluarga, jurulatih dan rakan menambahkan lagi semangat saya untuk terus melakar kejayaan dalam sukan badminton, impian saya seterusnya selepas ini ialah untuk berada dalam pasukan senior kebangsaan seterusnya dapat beraksi dipentas antaeabangsa," katanya yang kini turut menjalankan perniagaan pakai sukan wanita.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 9:26pm
d