arena

Pogba tidak hanya goyang kaki di rumah

Oleh AFP

PEMAIN tengah Machester United, Paul Pogba menggunakan kesempatan perintah berkurung akibat Covid-19 dengan meningkatkan tahap kecergasannya selepas dibelenggu masalah kecederaan musim ini.

Pogba hanya melakukan lapan penampilan bersama United musim ini sebelum krisis pandemik ini memaksa saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dihentikan sejak Mac lalu.

Pemenang Piala Dunia ini tidak pernah beraksi dalam satu perlawanan pun tahun ini berikutan kecederaan buku lali.

Aksi terakhirnya hadir pada 26 Disember lalu ketika menumpaskan Newcastle tapi Pogba sentiasa menjaga tahap kecergasannya ketika liga dihentikan dan berharap mampu bersedia jika saingan disambung semula.

"Saya mempunyai gim kecil di rumah. Saya boleh melakukan sedikit latihan, berlari, mengayuh basikal dan kadangkala menggunakan bola. Saya hanya mahu sentiasa berasa sibuk dan kekal sihat," katanya dalam laman web rasmi United.

Dia berkata, pemain harus sentiasa mempunyai motivasi kerana tidak ada pilihan lain.

"Ini adalah tempoh yang kita tidak tahu bila ia akan berakhir namun saya masih mempunyai sasaran di dalam fikiran bahawa semua ini akan lenyap.

"Selepas itu kita akan kembali ke dalam padang, jadi kita harus bersedia. Bagi saya, sudah lama tidak beraksi, jadi saya hanya mahu ingin kembali bermain bola sepak," katanya.

Pogba, 27, sentiasa berhubung dengan rakan sepasukannya ketika perintah berkurung apabila mereka mengikuti latihan kecergasan yang diatur ketika berada di rumag.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 12:11am
d