arena

Pestans tekad tamatkan penantian 24 tahun

Oleh Mohd Amin Jalil

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) bertekad untuk menamatkan penantian 24 tahun pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, yang dijadualkan akan berlangsung pada Mac 2021.

Presiden Pestans, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, kali terakhir skuad sepak takraw Negeri Sembilan merangkul pingat emas bagi kategori antara regu adalah pada Sukma 1996 di Pahang.

Katanya, selepas itu skuad Negeri Sembilan sekadar berjaya meraih pingat perak dan gangsa, malah pada temasya 2016 di Perak, skuad Negeri Sembilan hampir menamatkan penantian pingat emas, tetapi tewas satu mata kepada Terengganu di pentas final.

"Justeru itu, kita (Pestans) berhasrat untuk menamatkan pernantian 24 tahun pingat emas di temasya Sukma Johor 2020, Mac tahun depan.

"Pada temasya itu nanti, kami akan menyertai semua kategori yang dipertandingkan iaitu berpasukan, antara regu, double dan regu wanita.

"Persiapan rapi ke arah mencapai sasaran itu sudah dimulakan sejak awal tahun ini, namun sedikit terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak Covid-19.

"Bagaimanapun, persiapan semua atlet sepak takraw negeri dipantau ketua jurulatih Saiful Mazlan, dengan latihan mereka lakukan di kediaman masing-masing," katanya di ditemui di sini, hari ini.

Wan Mohd Husni berkata, pihaknya yakin sasaran merangkul pingat emas yang ditetapkan daripada salah satu kategori berkenaan, boleh dicapai dengan tempoh persiapan yang masih panjang, selepas temasya dwitahunan itu dianjakkan kepada tahun hadapan.

Menurutnya, barisan pemain muda yang disenaraikan kali ini juga dilihat berpotensi untuk berhadapan cabaran itu nanti kerana terdapat kalangan mereka yang pernah beraksi dalam Liga Premier Sepak Takraw League (STL) musim lalu dan turut disenaraikan bagi musim akan datang.

"Selain itu, Pestans juga sudah merancang untuk menghantar pemain menjalani latihan persiapan dua minggu di Thailand menerusi kerjasama hubungan baik dengan sebuah kelab sepak takraw di sana, namun begitu ia bergantung kepada situasi pandemik Covid-19," katanya.

Mengulas mengenai langkah Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS), menangguhkan seketika pembayaran elaun latihan jurulatih dan atlet Sukma negeri itu selama tiga bulan bermula bulan ini, Wan Mohd Husni berkata, Pestans akur dengan arahan itu.

"Kami akur dengan arahan itu dan memahami situasi kewangan yang dihadapi MSNS. Mungkin MSNS ada perancangan tersendiri, namun kita berharap ia tidak menjejaskan bantuan dan sokongan kepada persatuan," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 7:05pm
d