arena

Main 'game' pun nak gaduh [VIDEO]

Oleh Agensi

PELUMBA Formula Satu (F1), Lando Norris menggelarkan pesaingnya pengecut sehingga menyebabkan dia terbabit dalam kemalangan bagi perlumbaan virtual perlumbaan IndyCar atas talian.

Norris ketika itu mengambil bahagian dalam saingan eSports melalui permainan video simulasi iRacing dan berada pada landasan terbaik untuk muncul juara di Litar Indianapolis Motor Speedway.

Bagaimanapun, dia berlanggar dengan Simon Pagenaud yang secara tiba-tiba memperlahankan jenteranya di depan pelumba McLaren itu sekali gus menyebabkan berlakunya kemalangan sehingga meragut peluang Norris untuk muncul juara.

Norris tidak mengetahui bahawa sebelum kemalangan itu berlaku pelumba Perancis itu pernah menyatakan bahawa dia mahu menyingkirkannya.

"Dia berkata mahu masuk ke dalam pit dan mahu memperlahkan kereta saya dan tidak mahu saya memenangi perlumbaan ini.

"Sebenarnya dia agak bongkak keraa tidak mahu bukan pelumba IndyCar memenangi perlumbaan ini. Ia memang menghancurkan peluang saya, itu saja," kata Norris.

Norris mendapat sokongan daripada seorang lagi pelumba F1 dan peminat perlumbaan virtual, Max Verstappen.

Pelumba Red Bull itu ada berhubung dengan Norris di atas talian dan bersetuju dengan pendapat rakannya itu sambil berjenaka kedua-dua mereka harus menyelesaikan perkara berkenaan dengan bergaduh di luar gelanggang.

"Ini adalah tindakan paling bodoh saya pernah lihat. Anda tidak boleh bercakap di khalayak untuk cuba menyingkirkan sesorang. Jika anda bercadang untuk berbuat demikian tidak perlu mendedahkannya secara terbuka.

"Kita sepatutnya meletakkan gelanggang tinju di 'paddock'. Saya mahu lihat Lando berada di dalam gelanggang," kata Verstappen.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 9:25pm
d