arena

Berniaga juadah Ramadan tambah pendapatan

Oleh Mohd Rafi Mamat

BERNIAGA juadah berbuka puasa kini dilakukan penyerang muda skuad Pahang, Mohd Faizal Abd Rani bagi menambah pendapatan selain dapat mengisi masa terluang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, ia adalah Ramadan kali pertama dia berniaga pelbagai kuih dan lauk pauk, usaha berkenaan sebagai memenuhi minat dalam bidang perniagaan yang mungkin akan diceburi selepas menamatkan kerjaya dalam sukan bola sepak suatu hari nanti.

Katanya, dia mula terbabit dengan aktiviti berniaga lebih 10 jenis kuih dan lauk pauk secara pandu lalu dan bungkus sejak awal Ramadan di premis Bonda Nieyna Nik Simple yang terletak di Jalan Darat Makbar, Kuantan.

"Saya seronok berniaga apabila dapat membantu pengguna yang tidak berpeluang menyediakan juadah berbuka puasa kerana tugas, selain PKP yang kini memasuki fasa ke empat.

"Sebelum ini peminat Tok Gajah melihat saya beraksi ditengah padang namun kali ini mereka dapat melihat saya berniaga makanan," katanya yang memasuki musim kelima bersama skuad Tok Gajah.

Dia yang sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan Piala Presiden Pahang dan Shahzan Muda berkata, aktiviti perniagaan juadah berbuka puasa tahun ini difahamkan agak perlahan berbanding sebelum ini berikutan PKP yang menyebabkan pengguna tidak dibenarkan keluar rumah.

Namun katanya, sebagai peniaga dia sentiasa yakin dan berpegang dengan prinsip rezeki pasti ada dan istilah selagi berusaha pasti akan menemui kejayaan sama juga dalam kerjaya bola sepak profesional yang diceburi lebih lima tahun lalu.

Mohd Faizal berkata, pada Ramadan kali ini dia mula berniaga tiga petang hingga tujuh malam dan pada hari biasa premisnya beroperasi waktu malam dengan menyediakan pelbagai hidangan istimewa.

"Sepanjang berniaga pelbagai ragam pelanggan ditemui, ada yang kenal saya pemain Tok Gajah dan tidak kurang juga yang tidak mengenalinya.

"Untuk berjaya dalam apa juga bidang saya sentiasa berpegang dengan cogan kata usaha tangga kejayaan dan rezeki pasti dengan bantuan Yang Maha Esa. Peluang yang terhidang perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Saya seronok melihat ramai pemain bola sepak tempatan yang terbabit dengan pelbagai perniagaan sepanjang Ramadan, usaha berkenaan untuk menambah pendapatan terutama apabila Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan dan masih tidak pasti bila akan bermula," katanya yang berasal dari Kuala Besut, Terengganu.

Mengenai kontrak bersama pasukan Pahang yang berakhir hujung tahun ini, dia berkata sebagai pemain profesional dia perlu mencari pasukan baru sekiranya Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) tidak berminat untuk menyambung kontraknya.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 9:46pm
d