arena

Gaji pemain PJ City semua beres

Oleh Mohd Amin Jalil

"WALAUPUN tiada perlawanan bola sepak tetapi semua pemain dan pegawai

pasukan PJ City sudah dibayar gaji termasuk gaji bulan April.

Demikian pengakuan pengurus pasukan PJ City, K Rajendran namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai pemotongan gaji yang dilakukan pihak pengurusan pasukan itu susulan penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula sejak 16 Mac lalu.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat perbincangan dua hala dibuat antara pemain dan pihak pengurusan kelab berkenaan, baru-baru ini mengenai perkara berkenaan.

"Soal pemotongan gaji pemain memang ada dilakukan tetapi ia lebih kepada tolak ansur antara majikan dan pekerja dan kadar pemotongan gaji yang dibuat juga atas persetujuan bersama dan bukannya dibuat secara paksaan.

"Dalam hal ini (pemotongan gaji), kita mengambilkira saranan dan garis panduan yang disediakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan setakat ini tiada masalah yang berbangkit.

"Pemain pun akur dengan keadaan semasa akibat wabak Covid-19 yang melanda bukan saja di negara ini tetapi lebih 180 negara di dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baru-baru ini, FAM mengeluarkan garis panduan pemotongan gaji untuk memudahkan pengurusan setiap pasukan mengambil tindakan mengikut kemampuan masing-masing.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa kategori pertama iaitu gaji RM4,999 dan ke bawah membabitkan pemotongan 10 peratus; kategori kedua, RM5,000-RM9,999 (15 peratus); kategori ketiga, RM10,000-RM14,999 (20 peratus) dan kategori keempat, RM15,000 dan ke atas (30 peratus).

Mengulas lanjut, Rajendran berkata, beliau melihat secara positif dalam soal

pemotongan gaji pegawai dan pemain kerana apa yang penting mereka masih dapat gaji seperti biasa.

"Ini memperlihatkan pengurusan kelab kami sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan pemain. Masalah ini dihadapi semua pasukan dalam Liga M bukan PJ City sahaja," katanya.

Mengenai cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung Liga M musim ini September depan, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukannya kerana sedar ramai yang menjadi pencinta bola sepak di negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan sebenarnya adalah terletak atas bidang kuasa kerajaan kerana pandemik Covid-19 sangat merbahaya.

"Kita kena peka dengan isu penularan wabak covid-19 ini kerana penyakit berkenaan bukan sahaja memberikan kemudaratan kepada diri seseorang tetapi juga orang lain.

"Kita mengharapkan rantaian wabak penyakit ini dapat disekat dalam tempoh terdekat agar kita semua dapat melakukan urusan harian seperti biasa.

"Bagaimanapun semua pihak yang terbabit dengan bola sepak kena akur andai Liga M musim ini tidak dapat diteruskan seperti dirancang," katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 3:15pm
d