arena

Rahsia Yoodo Gank muncul jagoan PUBG

Oleh Ferzalfie Fauzi

PENGURUS Yoodo Gank, Kevin Wong mengakui persefahaman mantap antara keempat-empat anggota pasukannya punca utama mereka mampu muncul juara PUBG Mobile Pro League (PMPL) Asia Tenggara (SEA) 2020.

Kevin yang berusia 36 tahun mengakui Yoodo sangat bertuah memiliki pemain seperti Aiman Mohamad (Man Parang), Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx), Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo).

"Persediaan kejohanan ini memang sudah lama dilakukan. Saya gembira dengan apa diraih Yoodo. Bukan mudah untuk memenangi 'bracket' rantau SEA. Ini juga bukan kemenangan nasib tapi memang meyakinkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Kejayaan merangkul PMPL SEA 2020 membolehkan Yoodo mara ke Liga Dunia PUBG bersama Team Secret yang meraih gelaran PMPL MYSG.

"Setidak-tidaknya moral pasukan semakin meningkat kerana ini kali pertama kami berjaya meraih PMPL SEA selepas dua edisi sebelum ini disapu RRQ dari Thailand," kata Kevin.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemilik Gank, mendedahkan rahsia kejayaan mereka tentulah dengan gabungan empat pemain tersohor dan popular dalam arena esports negara terutama PUBG Mobile.

"Jumper misalnya kami memang sentiasa memburunya sejak tahun lalu dan selepas kontraknya habis kami serapkan sebagai jurulatih, namun selepas tidak mencukupi masa mencari pemain untuk membina pasukan kuat kami menggabungkannya bersama Man Parang dan Draxx yang sudah berpengalaman berganding bersama.

"Dengan pengalaman yang ada pada Jumper, ia secocok dengan corak permainan Man dan Draxx. Sebenarnya Yoodo tidak hanya mempunyai seorang 'Alpha' keempat-empat mereka adalah 'Alpha'.

"Mereka tidak mengejar kemahsyuran, begitu juga Fredo seorang yang boleh dikatakan sebagai 'Maharaja' dalam pentas esports Malaysia. Jadi kami mempunyai gandingan mantap dari pelbagai aspek," katanya.

Semalam, kejayaan Yoodo bersama Team Secret turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan yang layak ke pentas dunia.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 6:09pm
d