arena

Peluang The Bos Gaurus cabar JDT

Oleh Firdaus Hashim

FORMAT separuh liga yang akan diguna pakai sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula September ini dianggap kesempatan terbaik buat Perak mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Ketua pasukan Perak, Shahrul Saad optimis skuad The Bos Gaurus mampu memberi cabaran sengit kepada pendahulu serta juara bertahan enam kali berturut-turut iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mereka kini hanya ketinggalan dua mata untuk berada di tangga kedua liga.

Menurutnya, format baharu itu dengan berbaki tujuh perlawanan untuk dilalui nyata satu kesempatan terbaik buat Perak menamatkan penantian kejuaraan kali pertama liga sejak diperkenalkan pada tahun 2004 selain slot ke pertandingan Liga Juara-Juara (ACL) pada musim depan.

"Melalui format satu pusingan ini, saya rasa boleh jadi satu peluang kepada kami dalam cuba dapatkan sesuatu pada saingan Liga Super. Cuma tiada ruang untuk terlepas sebarang mata memandangkan tidak banyak perlawanan yang tinggal selain mengharapkan kami kena pastikan rentak sama mampu diteruskan seperti di awal musim.

"Namun apa yang akan menjadi kuncinya nanti ialah sejauh mana cepat pasukan boleh mendapatkan kecergasan selepas berehat panjang beberapa bulan, perkara ini juga jadi sedikit kebimbangan.

"Apapun sama ada Liga Super atau Piala Malaysia, matlamat utama kami ialah mahu mendapatkan tiket ke pertandingan ACL dan Piala AFC selain memburu sebarang kejuaraan," katanya yang juga tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merancang meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Perdana pada 1 hingga 27 September ini dengan saingan satu pusingan tanpa timbal balik, kempen Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 Oktober hingga 7 November sementara saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Bagaimanapun perancangan itu masih tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila MFL mengemukakan permohonanan semula pada Jun ini.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 10:25pm
d