arena

Jom pekena pes ikan bakar Harrif

Oleh Aida Adilah Mat

RAMADAN kali ini begitu bermakna buat jaguh pecut berbasikal negara, Mohd Harrif Saleh yang bukan setakat dapat menghabiskan masa bersama keluarga, malah mengembangkan semula perniagaan pes ikan bakarnya.

Biarpun mengakui sedikit bosan kerana tidak dibenarkan keluar berlatih kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masa itu diisi dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Pernah memiliki restoran ikan bakar satu ketika dulu namun terpaksa ditutup kerana komitmen terhadap berbasikal lebih diberi keutamaan, anak kelahiran Terengganu itu berkata, tempoh PKP memberi ruang kepadanya untuk kembali mengembangkan sayap perniagaan.

Harrif, 31, bersama isteri, Nur Syahira Nordin memasak pes berkenaan mengikut permintaan pelanggan dengan harga dari RM5 hingga RM10.

"Saya memang minat berniaga. Tambah pula isteri saya boleh memasak, itu sebab saya suka berniaga makanan ini. Dulu pernah ada restoran tapi tak menang tangan untuk diuruskan jadi terpaksa ditutup.

"Selepas restoran ditutup, ramai yang tanya pes berkenaan jadi dalam tempoh PKP dan saya pula tak ke mana-mana, saya kembali menjual pes. Selain daripada pes, saya juga ada menjual kuih simpul kasih sempena Ramadan dan jika ada permintaan dari luar Terengganu akan dipos terus kepada pelanggan," katanya.

Menduduki ranking ke-938 dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Harrif mencetuskan fenomena dalam dunia basikal negara apabila menjadi pelumba negara pertama yang meraih tiga kemenangan peringkat dalam siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL).

Seorang yang peramah dan memiliki keberanian luar biasa mengejar kejayaan, Harrif juga menggunakan kesempatan di bulan Ramadan ini menyumbang kepada keluarga yang memerlukan bantuan.

Katanya, PKP ini memberi kesan terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan jadi dia turut mahu bersama meringgankan bebanan dengan berkongsi rezeki kepada keluarga yang memerlukan.

"Tak salah jika kita berkongsi rezeki. Saya cuma membantu mereka yang memerlukan. Sumbangan tidaklah banyak mana tapi sekurang-kurangnya ia diharapkan dapat membantu mereka yang memerlukan. Selain bantuan kewangan saya juga ada menyumbangkan barangan keperluan dapur kepada golongan yang kurang upaya sekitar kawasan kediaman saya ini," katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 10:45pm
d