arena

Dua kes Covid-19 di Moenchengladbach

Oleh AFP

ENAM daripada 10 individu diuji positif Covid-19 dalam saringan dijalankan membabitkan kelab Bundesliga yang disusuli perkembangan terhadap dua kes dilaporkan membabitkan virus berkenaan terhadap pasukan berada di tempat keempat liga, Borussia Moenchengladbach.

Akhbar daerah, The Rheinische Post mendakwa sumber rapat dari kelab itu yang enggan dinamakan mengesahkan pemain dan anggota fisioterapi didapati positif virus berkenaan.

Kedua-duanya sudah dikuarantin, tapi skuad Gladbach sudah menjalani latihan seperti biasa dengan harapan liga bola sepak utama Jerman akan diberikan lampu hijau hari ini untuk menyambung saingan pada 15 Mei.

Isnin lalu, Liga Bola Sepak Jerman (DFL) mendedahkan terdapat 10 kes Covid-19 antara 1,724 ujian - 0.58 peratus - datang dari 36 kelab di dua liga bahagian utama Jerman.

Jumaat lalu, pasukan liga utama, Cologne mengesahkan dua pemain dan fisioterapi didapati positif dan sudah dikuarantin manakala kelab Divisyen Dua, Dynamo Dresden mengesahkan terdapat satu kes membabitkan virus itu.

Canselor Jerman, Angela Merkel akan mengadakan perbincangan bersama 16 ketua daripada negeri itu dengan saingan Bundesliga kembali diteruskan sebagai agenda utama dalam panggilan persidangan berkenaan hari ini.

Jika mendapat pelepasan, DFL menegaskan langkah ketat akan diambil untuk menghalang penularan wabak termasuk membabitkan kebersihan dan perlawanan liga diadakan secara tertutup.

Ia termasuk melakukan ujian rambang yang akan "memberi perlindungan" kepada pemain dan staf sokongan bagi menamatkan baki sembilan perlawanan musim ini.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 8:39am
d