arena

Isu gaji cemar reputasi Lang Merah

Oleh Izzali Ismail

KELAB Penyokong Kedah menerusi Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) kesal terhadap dakwaan tunggakan gaji dua bulan pasukan Kedah seperti yang didedahkan media semalam.

Jurucakap GULM yang mewakili 25 kelab penyokong bola sepak Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, jika benar dakwaan itu pihaknya kesal dengan cara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menguruskan kebajikan pemain dan jurulatih.

"Sebelum ini Setiausaha Kehormat KFA (Asmirul Anuar Aris) memberi jaminan isu gaji ini akan diselesaikan segera, tapi nampaknya dari hari ke hari keadaan kini menjadi semakin rumit.

"Jadi, kami mengharapkan supaya KFA dapat mencegah perkara ini sebelum keadaan menjadi parah kerana sebagai majikan KFA wajib melunaskan tunggakan gaji berkenaan di samping menjaga imej pasukan.

"Jalan terbaik dengan mengadakan perbincangan segera agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Safarizal berkata, pada masa sama, pihaknya juga masih tertanya-tanya sama ada KFA sudah mengadakan rundingan dengan penaja ataupun pemain mengenai situasi yang dihadapi.

"Melalui media sosial dan media cetak, KFA memberi alasan pihak penaja menghadapi masalah kewangan disebabkan kesan wabak pandemik Covid-19 ini.

"Jadi jika KFA boleh memahami masalah penaja, mengapa pula KFA tidak cuba menjelaskannya kepada pemain bagi menyelesaikan isu ini dengan cara baik.

"Pihak kami berharap KFA dapat mencari jalan terbaik seperti bertemu dan berbincang dari 'hati ke hati' dengan semua untuk memberi penjelasan sebenar apa yang sedang berlaku," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 5:27pm
d