arena

Badang Pahang kembali gah dua tahun lagi

Oleh Mohd Rafi Mamat

ERA kegemilangan pasukan angkat berat Pahang di pentas Sukan Malaysia (Sukma) dijangka kembali berulang dalam masa dua tahun lagi menerusi program pembangunan atlet jangka panjang yang dijalankan.

Ketua jurulatihnya, Zainuddin Josef berkata, fasa pertama mencungkil bakat baharu di seluruh negeri sudah lama dilakukan dan ia diteruskan menerusi program menggilap kebolehan atlet. Menurutnya, kini terdapat lebih 38 atlet angkat berat lelaki dan wanita dalam semua kategori. Mereka ditempatkan di pusat pembangunan sukan angkat berat Pahang di Rompin selebihnya pusat latihan Pulau Tioman, Muadzam Shah dan disediakan semua kemudahan termasuk pendidikan.

"Latihan secara tersusun dan berjadual memberi petanda kebangkitan Tok Gajah akan berlaku, beberapa nama kini dalam senarai bakal mencipta kejayaan diharapkan di pentas kebangsaan.

"Kami kini memiliki sekurang-kurangnya lima atlet yang mampu menyerlah dan sudah buktikan pada pertandingan angkat berat antara pusat pembangunan peringkat kebangsaan yang menjadi gelanggang pendedahan kepada atlet muda," katanya, di sini hari ini.

Katanya, Pahang suatu ketika dahulu berbangga dengan kejayaan merangkul banyak pingat emas sepanjang sembilan pentas Sukma (1994-2016) dengan prestasi ketika itu begitu cemerlang dan sukar digugat negeri lain.

"Di era berkenaan Pahang berbangga apabila berjaya melahirkan ramai badang negara seperti Mohd Faizal Baharom dan Amirul Hamizan Ibrahim yang mencipta nama di Sukan Komanwel," katanya yang juga bekas atlet angkat berat negeri.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 6:08pm
d