arena

Alyesha Jengking sandaran emas Nogori

Oleh Mohd Amin Jalil

JUARA Muay Thai Remaja Kebangsaan 2018, Nur Alyesha Mohd Alawi, bakal menjadi pertaruhan utama skuad muay thai Negeri Sembilan untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020, Mac depan.

Nur Alyesha, 16, yang terkenal dengan julukan Alyesha Jengking yang beraksi dalam kategori 45 kilogram (kg) antara 21 atlet berpengalaman dan muda yang disenaraikan Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan (PMTNS) untuk menggalas cabaran pada temasya dwitahunan itu.

Setiausaha Agung PMTNS, Borhan Budong berkata, pihaknya dahagakan emas pada temasya itu dan kini memiliki beberapa lagi atlet yang dikenal pasti berpotensi membantu merealisasikan sasaran kutipan kilauan pingat berkenaan.

Katanya, sejak penyertaan pertama pada temasya 2013 di Kuala Lumpur, atlet negeri ini belum berjaya membawa pulang emas.

"Ketika itu kami meraih dua gangsa. Pada penyertaan berikutnya di Perak 2018, kami berjaya memperbaiki prestasi dengan pencapaian dua perak dan tiga gangsa.

"Untuk edisi 2020 ini, kami menetapkan sasaran meraih sekurang-kurangnya dua emas kerana pada kali ini kami akan menyertai semua kategori yang dipertandingkan," katanya di Seremban, hari ini.

Borhan berkata, PMTNS sudah menyenaraikan 21 petinju dan sudah membuat persiapan rapi bermula pertengahan tahun lalu menerusi pendedahan pelbagai kejohanan peringkat domestik, dalam memastikan setiap atlet mampu mencapai tahap prestasi terbaik.

Menurutnya, bagaimanapun persiapan pasukan terganggu angkara wabak Covid-19 dan atlet hanya menjalani latihan di kediaman masing-masing dengan pemantauan jurulatih, Mohd Faizal Mohd Hanif.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 9:48pm
d