arena

Harry, Marcel calon naturalisasi baharu

Oleh Firdaus Hashim

BENTENG pertahanan skuad Harimau Malaya dijangka bertambah ampuh sekukuh Tembok Besar China seandainya dua calon naturalisasi baharu iaitu Harry Edge dan Marcel Kalonda membarisi pasukan negara.

Kedua-dua pemain yang beraksi di posisi bek tengah itu difahamkan memiliki pertalian darah dengan negara ini dan berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), mereka boleh mewakili Malaysia dalam aksi antarabangsa.

Malah, kedua-duanya turut meluahkan keinginan untuk menyertai latihan bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe sekali gus mengikut jejak Matthew Davies, Brendan Gan, Corbin Ong dan Natxo Insa sebagai pemain yang mempunyai pertalian dengan Malaysia.

Bapa Harry iaitu Declan Edge di laman Twitter miliknya mengakui anaknya itu terbuka untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan sekiranya dipanggil pada masa akan datang.

"Saya lahir di Melaka dan mengikut peraturan Fifa, Harry (anaknya) layak untuk menyarung jersi pasukan Malaysia. Jika dipanggil, Harry sedia sertai pasukan," kata Declan.

Menerusi tinjauan latar belakang Harry di laman web, dia dilahirkan di New Zealand dan pernah beraksi bersama kelab Eropah seperti di liga Eredivisie Belanda untuk beberapa musim.

Selain posisi pertahanan, Harry juga berkemampuan beraksi di bahagian tengah bertahan dan ketika ini sedang mewakili kelab Torslanda IK di liga Sweden.

Sementara itu, seorang lagi pemain iaitu Marcel turut dikaitkan dengan skuad kebangsaan di mana dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia melalui datuknya yang dilahirkan di Sabah.

Marcel, 22, ketika ini beraksi di liga Zambia mula menjadi perbualan peminat tanah air selepas diletakkan sebagai pemain dari Malaysia dalam permainan Football Manager 2020.

Bagaimanapun, dia menafikan di laman Facebook miliknya dan menyatakan datuknya saja yang lahir di negara ini.

"Wujud kekeliruan selepas ramai peminat dari Malaysia menghubungi saya mengenai status kelahiran. Saya lahir di Kolwezi, ibu negara Congo tetapi datuk saya berasal dari Sabah."

Saya pernah ke Malaysia ketika kecil. Jika diberi peluang dipanggil (sertai Harimau Malaya) saya sedia mencuba," kata Marcel.

Untuk rekod, dalam aksi terakhir skuad negara pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyaksikan tiga pemain kacukan iaitu Davies, Brendan dan Corbin berada dalam skuad Cheng Hoe.

Manakala, Mohamadou Sumareh adalah pemain berstatus naturalisasi yang diberikan taraf kerakyatan dua tahun lalu sebelum Liridon Krasniqi menyusul awal tahun ini.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 10:37pm
d