arena

Bayar gaji ansur perlu dapat restu pemain

Oleh Firdaus Hashim

KANTUNG Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dijangka bertambah 'tenat' apabila mereka tidak dibenar menggunakan Garis Panduan Pelarasan Gaji bagi memotong gaji pemain disebabkan pandemik Covid-19.

Menerusi garis panduan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu lalu, setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang belum mencapai persetujuan mengenai pemotongan gaji bersama pemain boleh menggunakan garis panduan berkenaan bermula gaji untuk bulan April.

Bagaimanapun, mana-mana pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan panduan itu dan ia termasuk pasukan Kedah yang ketika ini difahamkan gagal membayar gaji bulan Februari dan Mac.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, setiap pasukan perlu menyelesaikan tunggakan lama supaya hutang berkenaan tidak bertambah, namun mengakui masih ada jalan keluar untuk menggunakan garis panduan itu.

Katanya, cara lain yang boleh dilakukan oleh Kedah ialah mereka perlu mendapatkan persetujuan pemain untuk membenarkan tunggakan gaji bulan Februari dan Mac di bayar secara ansuran sekali gus membolehkan KFA diberi kebenaran menggunakan garis panduan itu.

"Memang kita tak benarkan sebab kalau dah tertunggak bulan sebelumnya, macam mana pasukan nak selesaikan pula gaji bulan April dan seterusnya.

"Jadi dalam kes macam Kedah ini, kalau pemain kesian kepada pasukan mereka boleh ambil keputusan (atas persetujuan pemain) beri Kedah ruang untuk bulan Februari dan Mac bayar penuh secara ansuran.

"Tapi kalau pemain tak dapat gaji bulan Februari dan Mac, dan mereka pun tak setuju buat pemotongan bermakna pasukan tak boleh suka hati nak potong bulan April," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Menerusi laporan akhbar ini, barisan pemain skuad Helang Merah terpaksa menyambut kedatangan Ramadan dengan serba kekurangan berikutan kegagalan pengurusan pasukan membayar gaji pemain.

Difahamkan, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu masih belum menerima gaji penuh bagi bulan Februari selain gaji bulan Mac yang masih tertunggak sepenuhnya. Menurut sumber dalaman pasukan, KFA hanya mengkreditkan sebanyak 30 peratus gaji bulan Februari dengan 70 peratus lagi pembayaran masih tertangguh.

"Pasukan kena capai persetujuan dengan pemain terlebih dulu dan kita hormati rundingan di peringkat domestik itu. Kalau pemain setuju, siapalah FAM untuk kata tidak. Sebaliknya kita akan bantu dengan benarkan tetapi kena bincang dengan pemain," kata Stuart.

Sebelum ini, FAM mengeluarkan Garis Panduan Penyelarasan Gaji dengan pemotongan maksimum sebanyak 30 peratus terhadap pemain yang meraih pendapatan melebihi RM15,000 dan ke atas sebulan.

Manakala, bagi pemain yang menerima gaji dari RM10,000 - RM14,999 akan dipotong sebanyak 20 peratus diikuti RM5,000 - RM9,999 (15 peratus) dan RM4,999 ke bawah (10 peratus).

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 10:50pm
d