arena

Kafa berdepan situasi sukar

Oleh Firdaus Hashim

MASA depan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) ibarat 'telur di hujung tanduk' apabila pintu rayuan dilihat sudah tertutup dalam kes tunggakan gaji bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28.

Kafa perlu menjelaskan tunggakan itu atau berdepan hukuman lebih berat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Diberi tempoh selama 30 hari bermula 23 April lalu, Kafa dilihat semakin kesuntukan masa dan hanya berbaki 15 hari lagi untuk menjelaskan tunggakan lebih setengah juta itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, kes membabitkan tunggakan gaji Casio sudah diputuskan Fifa yang mengarahkan supaya Kafa segera melunaskannya dalam tempoh sebulan.

"Kafa dah dimaklumkan mengenai perkara ini melalui surat yang FAM sampaikan selepas menerima arahan daripada Fifa.

"Ini adalah keputusan Fifa dan bukannya daripada FAM. Bekas pemain mereka sudah mengemukakan afidavit dan Kafa perlu jelaskan segera tunggakan berkenaan.

"Setahu saya memang tak boleh lagi nak buat rayuan atau permohonan untuk meringankan kerana jumlah pembayaran dekat setengah juta adalah tunggakan gaji bekas pemain berserta faedahnya," kata Stuart ketika dihubungi.

Semalam, Arena Metro mendedahkan Kafa terpaksa melunaskan tunggakan gaji Casio yang pernah beraksi buat Kelantan selama dua musim dari 2018-2019.

Sekiranya skuad The Red Warriors gagal berbuat demikian, kes berkenaan akan diheret ke Jawatankuasa Tatatertib Fifa dan jika bersalah Kafa boleh digantung Fifa seperti dilalui oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Malah, ketiadaan aksi Liga Malaysia (Liga M) yang ditangguhkan kerana wabak pandemik Covid-19 turut tidak dapat menjana pendapatan menerusi jualan tiket yang sebelum ini banyak menyumbang kepada kantung pasukan.

Ditambah pula dengan hutang lain termasuk tunggakan gaji pemain tempatan, jelas meletakkan Kafa pada kedudukan sangat tenat dan kemungkinan akan berkubur penghujung musim ini.

Selain itu, Fifa juga mengharamkan Kelantan daripada membeli mana-mana pemain sama ada tonggak import atau tempatan untuk selama dua jendela perpindahan secara berturut-turut.

"Kafa juga tak boleh beli pemain baharu selama dua musim dari musim ini hingga musim depan. Ini bermakna, Kelantan tak boleh senaraikan pemain baharu dan mereka perlu gunakan pemain yang sedia ada atau ambil pemain dari skuad Piala Presiden sahaja," kata Stuart.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 9:45pm
d