arena

Rumah Lampard, Vichai kena samun

Oleh Agensi

PEROMPAK memecah masuk rumah pengurus Chelsea ­ Frank Lampard dan bekas pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha dalam kejadian di London semalam.

Barang berharga lebih £1 juta (RM5.3 juta) dicuri daripada kediaman bilionair, Vichai yang kini dijadikan rumah ibadat selepas kematiannya.

Insiden di Knightsbridge, Barat London itu berlaku sepuluh hari selepas kejadian sama menimpa rumah Lampard bernilai £12 juta (RM64 juta) berhampiran Chelsea.

Penyamun melarikan barang kemas dan jam tangan bernilai £60,000 (RM321,000) kepunyaan Frank dan isterinya, Christine, kedua-duanya berusia 41 tahun.

Rompakan itu kali keempat menimpa bekas bintang England itu tetapi maklumat lanjut kejadian yang kali terakhir berlaku pada Disember lalu tidak pernah diumumkan kepada awam oleh polis.

Bagaimanapun, detektif Flying Squad menyiasat rakaman kamera litar tertutup di kedua-dua kediaman dengan penjenayah menyasarkan mangsa yang terkenal dan kaya.

Keluarga Vichai di Thailand kesal dengan rompakan ke atas rumah itu yang tidak disentuh sejak pemilik Foxes berusia 60 tahun itu maut dalam nahas helikopter di Leicester pada Oktober 2018.

Townhouse Lampard dipecah masuk pada 1 Disember, kali kedua selepas insiden sama pada 2018. Pada 2005 dan 2008 perompak melarikan dua kereta dari rumahnya sebelum ini termasuk Mercedes dan Aston Martin.

Polis Metropolitan mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan namun tiada tangkapan setakat ini.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 7:14pm
d