arena

Annuar prihatin nasib TRW

Oleh Firdaus Hashim

BOLA sepak di negeri Kelantan masih belum berkubur apabila Tan Sri Annuar Musa menyatakan kesediaan untuk membantu Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) khususnya berkaitan isu tunggakan gaji Casio Jesus de Francisco yang bernilai lebih setengah juta ringgit.

Annuar yang pernah memimpin Kafa sebagai presiden mengakui sedih dengan kemelut demi kemelut melanda skuad The Red Warriors itu yang kini berdepan penggantungan dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sekiranya gagal melunaskan tunggakan gaji Casio berjumlah RM629,620.28.

Malah, tempoh sebulan yang akan berakhir pada 23 Mei ini untuk Kafa menyelesaikan tunggakan berkenaan dilihat semakin suntuk namun dengan kesediaan Annuar untuk menghulurkan bantuan dapat menyelamatkan persatuan itu.

"Saya juga tahu Kafa sedang menghadapi tuntutan dan perintah mahkamah yang difailkan EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang berjumlah hampir satu juta ringgit. Saya juga tahu Kafa kini belum menerima tajaan atau pengiklan. Saya sangat memahami.

"Tidak ramai yang faham hakikat sulitnya kita bekerja sukarela menghidupkan persatuan bola sepak. Datuk Wan Rahim (Presiden Kafa sekarang) jemput saya jadi Ahli Lembaga Penasihat Kafa. Saya berterima kasih tetapi atas kesibukan dan masalah lain saya belum dapat menerimanya.

"Tetapi setiap tahun saya masih membantu Kafa, termasuk mencari kawan-kawan membantu Kafa, khususnya untuk membayar hutang tunggakan. Walau tanpa jawatan, sebagai anak Kelantan kita sayangi negeri kita.

"Buat masa ini saya tumpu bantu Kafa dengan tuntutan dan perintah Fifa dan mahkamah khususnya oleh EPF," katanya yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Rabu lalu, Arena Metro mendedahkan Kafa terpaksa melunaskan tunggakan gaji Casio yang pernah beraksi buat Kelantan selama dua musim dari 2018-2019 sebelum ini.

Sekiranya skuad The Red Warriors gagal, kes berkenaan akan diheret ke Jawatankuasa Tatatertib Fifa yang kemungkinan boleh digantung daripada segala aktiviti bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang itu seperti mana yang dilalui Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Sebelum ini, PFA disahkan sudah digantung kerana kegagalan membayar tunggakan gaji pemain import sekali gus tidak boleh menjalankan operasi termasuk melaksanakan liga di peringkat negeri, bertanding dalam saingan Liga Malaysia dan lain-lain.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 10:12pm
d