arena

Dua perlawanan sukar dilupakan Aidil Shahrin

Oleh Izzali Ismail

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui terdapat dua perlawanan penting yang cukup membanggakannya dan tidak dapat beliau lupakan sejak memulakan tugas bersama skuad Lang Merah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada tahun lalu.

Beliau yang kini meneliti persiapan pasukan Kedah ketika Liga M terhenti seketika akibat wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Perlawananan yang dimaksudkannya adalah aksi ketika final Piala FA Kedah menentang pasukan Perak di Stadium Bukit Jalil pada Julai 2019 lalu yang berlanjutan hinga ke masa tambahan.

Satu lagi aksi adalah ketika separuh akhir Piala Malaysia Kedah menentang Pahang pada Oktober tahun lalu yang dianggapnya penuh cabaran selepas Kedah berjaya mengikat skuad Tok Gajah dengan meledak lima gol di Stadium Darul Makmur untuk melayakkan diri ke pentas final.

"Kedua-dua perlawanan ini iaitu menentang Perak sewaktu final Piala FA dan Pahang ketika separuh akhir Piala Malaysia pada tahun lalu adalah dua perlawanan yang cukup bermakna dimana ianya penuh dengan debaran dan kesungguhan yang tinggi dan tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini.

"Saya juga percaya dua perlawanan sengit itu akan menjadi aksi yang akan dikenang bukan oleh saya sahaja, namun saya juga jangakan bagi seluruh penyokong Kedah yang menantikan keputusan berkenaan penuh harapan hingga ke akhir perlawanan.

"Kita juga tahu sewaktu sebelum perlawanan itu kebanyakan penyokong luar Kedah memilih pasukan lawan iaitu Perak dan Pahang sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan berkenaan namun hakikatnya Kedah berjaya menamatkan perlawanan dengan kejayaan," katanya yang masih mengingati detik manis kejayaan berkenaan.

Ditanya mengenai rahsia beliau yang dilihat kekal tenang sepanjang kedua-dua perlawanan berlangsung, Aidil berkata sikap kesungguhan dan komitmen tinggi yang dipamerkan semua pemainnya mendorong keyakinannya terus menebal sepanjang perlawanan berlangsung.

"Kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain dengan mengikuti perancangan yang diatur memberi keyakinan tambahan kepada saya walaupun terpaksa 'memerah otak' untuk mengatur strategi tambahan disaat genting.

"Selain usaha, saya tidak henti berdoa agar usaha setiap pemain dapat dipermudahkan selepas semua melakukan usaha terbaik untuk merebut kejuaraan dan saya tetap bersyukur dengan kejayaan yang telah diraih oleh Kedah pada musim lalu," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 4:10pm
d