arena

Ronaldo tak lokek derma berpuluh juta

Oleh Agensi

PANDEMIK Covid-19 menyaksikan banyak bintang bola sepak yang tampil ke hadapan untuk menderma dan mereka dilihat mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo.

Penyerang Juventus itu yang meraih gaji £500,000 (RM2.6 juta) seminggu dan mempunyai perjanjian lumayan dengan penaja seperti Nike, Armani, KFC, Herbalife selain jenamanya sendiri, CR7, jelas tidak lokek berkongsi rezekinya bersama mereka yang memerlukan ketika waktu sukar ini.

Ketika ramai yang memperkatakan mengenai aksi hebatnya di atas padang, Ronaldo juga terkenal dengan sikapnya yang gemar melakukan kerja amal.

Terbaru Ronaldo yang dilabel antara atlet terkaya dunia, bersetuju untuk dipotong gajinya bermula Mac, April, Mei dan Jun dan jumlah keseluruhan potongan gaji itu dilaporkan sebanyak £3.8 juta (RM20.4 juta).

Pada Mac lalu, Ronaldo bersama ejennya, Jorge Mendes menderma sebanyak £1 juta (RM5.3 juta) kepada hospital di Portugal untuk menangani pandemik Covid-19.

Hospital di Porto dan Lisbon juga menerima sumbangan daripada Ronaldo berbentuk keperluan asas seperti bantal untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Presiden Hospital Santa Maria di Lisbon, Daniel Ferro mendedahkan bagaimana begitu pemurahnya Ronaldo.

"Kami menerima panggilan daripada Jorge Mendes yang bersama-sama Ronaldo bersetuju membantu kami menambah keperluan di unit rawatan rapi untuk pesakit kritikal akibat Covid-19," katanya.

Rakan Ronaldo di dalam skuad kebangsaan Portugal, Bernardo Silva juga mendedahkan sisi baik bintang bola sepak dunia itu.

Menurut pemain Manchester City itu, Ronaldo meminta skuad Portugal mendermakan 50 peratus daripada bonus yang diterima selepas layak ke Euro 2020 untuk membantu menangani pandemik Covid-19.

"Saya rasa kami akan mengikut cadangannya itu dengan mendermakan 50 peratus daripada bonus kami," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 10:23pm
d