arena

Kontrak Zafuan batal

Oleh Arena Metro

BEKAS penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Zafuan Azeman muncul pemain pertama menjadi mangsa pandemik Covid-19 apabila khidmatnya ditamatkan oleh majikannya.

Zafuan yang pernah dilabel antara penyerang terbaik masa depan negara terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Liga 3 Thailand, Angthong FC yang terkesan teruk akibat penularan wabak itu hingga menjejaskan kantung pasukan.

Jelas Zafuan, kelabnya terpaksa membatalkan kontrak semua pemain dan dia mengucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan yang banyak membantunya selama berada di negara Gajah Perang itu.

"Hari ini (semalam) saya sangat sedih untuk mengumumkan bahawa saya perlu berpisah dengan Angthong FC selepas pengumuman kelab untuk membatalkan kontrak pemain kerana pandemik Covid-19.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden kelab, kakitangan, jurulatih, rakan-rakan sepasukan dan semua orang yang dikaitkan dengan kelab kerana melayan saya dengan baik.

"Saya harap kita dapat jalinkan lagi kerjasama pada masa depan," katanya di laman sosial Instagram miliknya, semalam.

Pernah menyertai Kedah pada 2018 sebelum menempuh pengalaman hitam bersama Perlis yang menutup operasi pada awal 2019, menyaksikan Zafuan berhijrah ke luar negara dengan menandatangani kontrak bersama Angthong FC Ogos musim lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 7:45am
    d