arena

Fazly mahu jadi pilihan utama

Oleh Asrol Awang

PEMAIN pertahanan Pahang, Fazly Mazlan mengakui perlu berada pada prestasi terbaik jika mahu kekal berada dalam kesebelasan sebaik Liga Malaysia (Liga-M) bersambung nanti.

Pemain kelahiran Muar, Johor itu berkata, ini kerana dua rakan sepasukan yang beraksi di posisi pertahanan kiri iaitu Mohd Faisal Rosli dan R Dinesh turut mengidamkan posisi berkenaan.

"Tapi, saya anggap perebutan posisi itu adalah persaingan sihat demi memperkasakan skuad Tok Gajah dan jurulatih (Dollah Salleh) tidak berdepan masalah untuk menyenaraikan pemain utama pada setiap perlawanan.

"Oleh itu, saya perlu bersedia dan mempertingkatkan lagi prestasi jika mahu disenaraikan dalam kesebelasan utama sebaik liga bersambung nanti," katanya.

Selepas empat perlawanan Liga Super, Fazly diberi tanggungjawab mengukuhkan jentera pertahanan di sebelah kiri ketika Pahang bertemu PJ City, Sabah dan Melaka United.

Fazly diberi peranan berikutan kecederaan yamg dialami Mohd Faisal dan ternyata berjaya mempamerkan prestasi seperti yang diinginkan.

Ditanya rutin harian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fazly mengikut segala arahan yang diberikan jurulatih kecergasan dalam mengekalkan stamina.

Katanya, sesi latihan harian mengikut kesesuaian termasuk berjoging untuk mengekalkan kecergasan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Biarpun tahap kecergasan tidak sama seperti berlatih di padang, senaman harian terutama pada waktu petang tetap dilakukan.

"Setakat ini saya berpuas hati dan sentiasa melakukan latihan mengikut keadaan semasa," kata pemain berumur 27 tahun itu.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 5:52pm
d