arena

Cukup masa pilih pemain

Oleh BERNAMA

TEMPOH kira-kira dua bulan setengah adalah memadai untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan pemilihan pemain yang akan membawa cabaran negara ke Piala Thomas dan Piala Uber.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata pihaknya mempunyai masa sehingga pertengahan Julai ini untuk menyenaraikan barisan pemain berpotensi ke kedua-dua kejohanan itu.

"Bulan Jun hanya untuk kita menyatakan sama ada kita setuju untuk menyertai kejohanan itu ataupun tidak.

"Sebenarnya, pendaftaran pemain kalau tidak silap saya pertengahan bulan Julai nanti.

"Kalau kejohanan diadakan pada bulan Oktober ini. Saya rasa banyak masa untuk pemain buat persediaan, mencukupi dan memadai," katanya.

Semalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan akan mengemukakan permohonan khas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum sambutan Aidilfitri, bagi membolehkan skuad badminton negara memulakan latihan persediaan program 'Road To Tokyo' (RTT) seawal 1 Jun ini.

Jika permohonan itu diluluskan, maka fasa kedua latihan yang dijadualkan bermula pada 15 Jun, akan melibatkan pemain yang akan dipilih ke kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark yang berlangsung dari 3 hingga 11 Okt.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 6:01pm
d