arena

Besiktas sedia terowong pembasmi kuman untuk pemain

Oleh Agensi

BESIKTAS membina terowong pembasmi kuman khas di pintu masuk padang latihan kelab berkenaan ketika skuad Liga Super Turki melakukan persiapan untuk menyambung semula aksi liga.

Terowong berbentuk kabinet itu perlu dilalui pemain dan kaki tangan memakai topeng penutup muka sebelum menyertai latihan sebagai langkah pencegahan diambil kelab berkenaan untuk mengelak penularan Covid-19.

Ia dibina oleh syarikat perisian Turki, Etisan dan akan kekal di Kemudahan BJK Nevzat Demir untuk jangka masa tertentu.

Langkah itu diambil selepas Besiktas mengumumkan seorang pemain dan kaki tangan kelab itu didapati positif Covid-19 tiga hari selepas pengumuman liga Turki akan disambung kembali bulan depan.

Saingan bola sepak Turki ditangguhkan sejak 19 Mac selepas kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19.

Liga Super negara itu bagaimanapun antara liga terakhir di Eropah yang menghentikan saingan berikutan Covid-19, dengan Goztepe mencatat kemenangan, 2-0 ke atas Caykur Rizespor pada 17 Mac - sembilan hari selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris ditangguhkan.

Sebanyak 137,000 kes Covid-19 dikesan di Turki dengan 3,739 kematian setakat semalam.

Liga utama Turki mempunyai baki lapan perlawanan, dan jika saingan disambung semula pemburuan gelaran semakin rancang antara tiga pasukan dari luar Istanbul dijangka menjulang kejuaraan buat pertama kali sejak Bursaspor melakukannya pada 2010.

Trabzonspor dan Istanbul Basaksehir terikat dengan 53 mata, ketika Galatasaray ketinggalan tiga di belakang dan Siivasspor hanya satu mata di belakang mereka.

Besiktas ketinggalan lima mata di belakang Sivasspor di tangga kelima, namun masih mengintai peluang beraksi di pentas bola sepak Eropah musim depan.

Turki turut mempunyai perancangan untuk menjadi tuan rumah final Liga Juara-Juara yang dijadualkan pada Ogos ini.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 2:42pm
d