arena

Badan lemah tak turun padang

Oleh Mohd Rafi Mamat

TEMPOH yang terlalu panjang tidak turun berlatih di padang pasti menjejaskan rentak serta kecergasan seseorang pemain bola sepak walaupun setiap hari mengadakan latihan ringan di rumah.

Bagi penyerang muda Pahang, Muhammad Nur Izzat Che Awang, latihan di padang lebih bebas serta banyak pergerakan boleh dilakukan tanpa batasan dan suasana sekeliling juga segar dan nyaman.

Menurutnya, selepas lebih sebulan tidak dapat turun berlatih di padang badannya juga kini agak lemah dan kurang selesa kerana sebelum ini setiap hari mengikuti sesi latihan kendalian jurulatih Dollah Salleh.

"Sejak empat musim terpilih mewakili pasukan Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Super Tok Gajah, ini kali pertama saya tidak dapat turun berlatih di padang dalam tempoh panjang, sebelum ini paling lama bercuti seminggu.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya meluangkan masa dua jam sehari untuk mengadakan latihan di rumah, walaupun tidak selesa namun terpaksa dilakukan juga bagi memastikan tahap kecergasan tidak menurun terlalu teruk," katanya yang berasal dari Raub.

Mengenai saingan memburu tempat dalam pasukan Tok Gajah musim ini, beliau berkata walaupun untuk mengisi posisi serangan agak sukar namun dia tetap berusaha memastikan dirinya menjadi pilihan jurulatih.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 2:54pm
d