arena

Gagal ke Melbourne, Fadhil berlatih sendiri

Oleh Aida Adilah Mat

TIDAK dapat bersama dengan rakan pasukan, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Melbourne tidak menyekat langkah Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk meneruskan latihan seperti biasa.

Bagaimanapun, pemegang rekod 1 kilometer ujian masa itu mengakui dia memerlukan motivasi yang tinggi untuk berlatih bersendirian dan ia berbeza jika dapat berlatih bersama-sama dua rakannya itu di Melbourne.

"Saya sepatutnya pulang ke Melbourne April lalu selepas memperbaharui visa. Tapi sehari sebelum nak pohon visa itu kita melalui tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi tak lepas untuk buat visa baru.

"Begitupun latihan tetap perlu diteruskan. Sama ada berlatih di Malaysia atau di Melbourne sama saja kerana masing-masing tidak dibenarkan berlatih di trek atau velodrom. Latihan tetap diteruskan di gim dan juga atas mesin roller.

"Cuma bezanya di sini ada keluarga dan di Melbourne saya ada kawan-kawan, di sinilah perlunya motivasi yang tinggi untuk meneruskan latihan seperti biasa," katanya.

Katanya, gim mini dirumahnya itu adalah inisiatif sendiri selain turut di bantu oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang menyediakan kemudahan untuk latihan bebanan.

Malah dia turut dibenarkan menggunakan basikal baru model WX-R Vortex bagi menyesuaikan diri dengan jentera berkenaan.

Nama Fadhil mula menjadi tumpuan apabila berjaya memecahkan rekod 11 tahun dalam acara 1km ujian masa milik Rizal Tisin ketika beraksi di Kejohanan Dunia di Berlin Jerman, Februari lalu.

Dia yang berusia 23 tahun merekodkan satu minit 00.305 saat, memadam catatan masa Rizal, 1:01.658s yang dilakukannya ketika memenangi gangsa di Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland, 11 tahun lalu.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 7:03pm
d