arena

Kaharuddin akui tugas getir Jang

Oleh Mohd Amin Jalil

"SAYA mengharapkan dapat memulakan latihan penuh bersama pasukan lebih

awal daripada jangkaan kerana agak lama berlatih sendirian," kata penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Pemain berpengalaman berusia 29 tahun itu berkata, latihan penuh bersama pasukan amat penting selepas hampir dua bulan menjalani latihan sendirian di rumah masing-masing.

Katanya, pihaknya sedar cabaran getir yang bakal diharungi Negeri Sembilan apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersambung September nanti.

"Jika mengambil kira kedudukan pasukan dalam carta Liga Perdana sememangnya kurang memuaskan kerana kami hanya mencapai satu kemenangan daripada empat perlawanan.

"Kami berada di kedudukan tercorot carta dan situasi itu ternyata memberikan

cabaran sukar buat kami apabila liga bersambug nanti.

"Justeru itu, kami perlu membuat persiapan lebih rapi dalam usaha membentuk kekuatan baharu dan lebih mantap, supaya kami mampu bangkit mendapatkan kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Kaharuddin berkata, format perlawanan suatu pusingan seperti yang dirancang oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sememangnya suatu cabaran yang berat bagi setiap pemain skuad Hobin Jang Hobin.

Menurutnya, berbanding pasukan lain, Negeri Sembilan perlu bermula dari bawah kerana baharu mengutip tiga mata.

Justeru katanya, persiapan lebih mantap perlu dilakukan jika mahukan kebangkitan dan dapat menamatkan baki tujuh perlawanan dengan mata maksimum.

"Inilah cabaran yang bakal kami hadapi apabila liga bersambung September nanti. Namun saya yakin dan percaya ia boleh dihadapi dan direalisasikan menerusi percaturan terbaik.

"Saya amat berharap rakan-rakan lain yang sebelum ini mengalami kecederaan dan tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kepada pasukan dapat pulih sepenuhnya untuk kembali memberi sumbangan terbaik kepada pasukan," katanya.

Pemain kelahiran Seremban itu akui, mereka perlu bekerja keras memantapkan pasukan jika mahu memastikan impian layak ke Liga Super musim depan tercapai.

"Walau apapun situasinya, kami tiada pilihan lain kecuali menyahut cabaran ini dengan penuh yakin kerana wabak Covid-19 ternyata menganggu rentak kami.

"Tetapi kami perlu hadapinya dengan cekal untuk memastikan impian menjulang kembali reputasi Negeri Sembilan, tercapai," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 8:41pm
d