arena

Tengku keluar zon selesa jual kambing perap

Oleh Saiful Affendy Sapran

SEPANJANG hidupnya, perkara yang sering difikirkan dan menjadi rutin harian adalah sukan khususnya hoki.

Malah penyerang skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil tidak pernah terfikir untuk melakukan sesuatu yang di luar kepakarannya.

Namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kehadiran Ramadan mendorong Tengku menceburi bidang baharu iaitu dengan berniaga kambing perap, produk yang dihasilkan sendiri oleh ibu saudaranya.

"Segala-galanya bermula apabila tidak banyak aktiviti yang boleh saya lakukan sepanjang PKP. Jadi saya terfikir apa salahnya menolong menjual produk ibu saudara saya yang tinggal di Bertam daripada duduk saja di rumah.

"Sekurang-kurangnya saya tak berasa bosan duduk di rumah. Tak sangka pula ia mendapat sambutan dan saya mula seronok buat kerja ini," katanya.

Bintang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu mengakui, 'tugas' baharunya itu agak mencabar kerana perlu berurusan dengan orang ramai dan memastikan segala tempahan dapat dipenuhi.

"Sebenarnya inilah kali pertama saya cuba berniaga. Menjual dan kemudian menawarkan khidmat penghantaran adalah sesuatu yang amat baru bagi saya.

"Tak nafikan agak mencabar juga kerana saya perlu uruskan banyak tempahan, cuba memenuhi sebaik-baiknya permintaan pelanggan dan kemudian pastikan bekalan mencukupi.

"Selang tiga atau empat hari saya perlu tambah bekalan semula," katanya yang sudah 13 tahun mewakili negara.

Bagi mereka yang berminat dan mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh layari instagram tengkusfamily236.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 11:49pm
d