arena

Sistem ranking buka laluan ke Olimpik

Oleh Aida Adilah Mat

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) menganggap sistem ranking yang diperkenalkan Persekutuan Olahraga Dunia (WA) memberi peluang untuk lebih ramai atlet negara layak beraksi di temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, ia sebenarnya tidak mudah kerana atlet perlu menempatkan diri dalam kelompok 32 terbaik dunia dengan menyertai lebih banyak kejohanan kompetitif bagi membolehkan mereka meraih mata untuk berada di kedudukan terbaik.

Manshahar ketika dihubungi berkata, ketika ini atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berada di kedudukan selesa iaitu 16 terbaik yang mana 32 akan layak untuk beraksi.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum selamat kerana ramai atlet masih belum menyertai pertandingan berikutan penundaan kejohanan ekoran wabak Covid-19.

"WA memperkenalkan sistem ranking ini tahun lalu dan ia membolehkan ramai atlet negara untuk layak beraksi jika berada di kelompok yang ditetapkan contohnya dalam acara padang seramai 32 atlet terbaik akan layak jika gagal melepasinya secara merit.

"Tapi ia tak mudah kerana mereka perlu berusaha lebih keras dan menyertai lebih banyak pertandingan kompetitif. Namun sekiranya tiada atlet negara berada di kedudukan ranking yang ditetapkan oleh WA, Malaysia masih berpeluang untuk menghantar wakil menerusi kategori wildcard," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 7:01pm
d