arena

Sesi latihan atlet dijangka awal Jun

Oleh BERNAMA

ATLET di bawah Program Road to Tokyo 2020 dijangka dapat meneruskan semula latihan mereka seawal minggu pertama Jun.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk merealisasikan perkara itu.

Bagaimanapun, keputusan bergantung kepada kebenaran daripada agensi kerajaan berkaitan selepas beberapa persekutuan sukan mengesahkan perubahan kalendar kejohanan masing-masing susulan penularan pandemik Covid-19, kata badan itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Lembaga Eksekutif MOM yang mengadakan mesyuarat ke-19 bagi penggal 2018-2021 hari ini bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyemak semula perlembagaannya yang kali terakhir dikemas kini pada Mei 2018.

"Lembaga eksekutif berhasrat membentangkan perlembagaan MOM yang dikemas kini dengan menggabungkan standard ketelusan dan tadbir urus yang moden pada mesyuarat agung tahunan tahun ini yang dijangka diadakan pada suku keempat," katanya.

MOM juga berkata mereka akan mendapatkan panel bebas semakan semula kriteria pemilihan MOM untuk menyemak semula kriteria pemilihan atlet bagi kejohanan antarabangsa selepas mengambil kira maklum balas dan pengalaman pada Sukan Sea 2019 di Filipina.

Mesyuarat hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria antara lain membincangkan acara-acara sukan yang terjejas oleh Covid-19 dan impak ke atas persatuan sukan negara serta MOM.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 7:58pm
d