arena

Lee Tuck akui seronok berpuasa

Oleh Syazwan Msar

BERPUASA nampak mudah tapi sebenarnya sangat mencabar walaupun untuk sehari bagi percubaan kali pertama.

Pengalaman berharga itu dirasai pemain import Terengganu FC (TFC), Lee Tuck yang menganggap pengalaman berpuasa di bulan Ramadan pada tahun ini sangat berharga buat dirinya untuk menyelami sendiri perasaan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari.

Pemain kelahiran England itu menyifatkan cabaran besar untuknya berpuasa penuh buat kali pertama dan melahirkan rasa bangga terhadap rakan Muslim yang berpuasa selama satu bulan pada bulan Ramadan ini.

Lee Tuck pada mulanya agak terkejut apabila pengalaman menahan lapar dan dahaga itu sebenarnya tidak menjejaskan kecergasan diri malah memberinya satu rasa yang amat berbeza baik dari segi ketahanan fizikal dan mental.

Pemain berusia 32 tahun itu sempat berkongsi video dirinya berbuka puasa bersama keluarga tersayang di rumahnya di Terengganu semalam.

"Sememangnya satu pengalaman baharu untuk saya dan saya agak gementar pada mulanya untuk cuba berpuasa, tetapi akhirnya ia berjalan dengan lancar.

"Daripada situ saya berpeluang untuk merasai sendiri bagaimana seorang Muslim di sini berpuasa dan bagaimana mereka kuat untuk terus berdisiplin menahan lapar dan dahaga. "Satu penghormatan daripada saya dan keluarga kepada semua Muslim yang berpuasa selama satu bulan dan saya bercadang meneruskan puasa penuh ini sekurang-kurangnya satu atau dua hari dalam seminggu," katanya.

Lee Tuck bersyukur apabila dia kini dapat melakukan aktiviti riadah di luar berbanding sebelum ini hanya berlatih di rumah.

Apa yang penting, dia ingin terus positif dan berharap pasukannya dapat kembali berlatih bersama dalam masa terdekat ini sebagai persediaan mengharungi Liga Malaysia yang dijangka bersambung pada September.

"Memang saya sangat berharap kami semua satu pasukan dapat kembali berjumpa dan berlatih bersama," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 8:00pm
d