arena

Liga Primeira Portugal bersambung 4 Jun

Oleh AFP

LIGA Primeira Portugal akan kembali memulakan musim selepas penangguhan kerana Covid-19 pada 4 Jun, umum liga bola sepak negara itu.

"Kami memberi jaminan dengan stadium akan diperiksa secara terperinci dan pemain profesional akan diuji.

25 pusingan perlawanan Liga Portugal akan bersambung pada tarikh 4 Jun ini," kata liga berkenaan menerusi satu kenyataan.

Perdana Menteri Portugal, Antonio Costa pada penghujung bulan lalu, mengumumkan bahawa minggu terakhir Mei sebagai permulaan liga utama negara itu.

Kerajaan Portugal berkata, 10 pusingan terakhir musim ini yang ditangguhkan sejak 12 Mac akan berlangsung mengikut protokol kesihatan yang ketat.

Pemain perlu melepasi ujian Covid-19 dua kali seminggu dan perlawanan akan dilangsungkan di stadium paling sedikit.

Pihak berkuasa kini sedang mengenalpasti stadium mana ia boleh diadakan.

Pengumuman liga berkenaan hadir sehari selepas Benfica mengumumkan pemain tengah mereka David Tavares didapati positif Covid-19.

Benfica berkata Tavares, 21, yang jarang menjadi pilihan dalam skuad utama, tidak mempunyai simptom dan sedang dikuarantin.

Diikuti Vitoria Guimaraes yang mengesahkan tiga kes positif pada Sabtu dan Moreirense satu kes.

Keseluruhan kes positif di Liga Primeira membabitan sekurang-kurangnya lapan pemain.

Porto berada di puncak liga hanya satu mata mendahului penyandang juara Benfica diikuti Braga dan Sporting Lisbon yang ketinggalan 13 dan 15 mata daripada dua pasukan teratas liga.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 8:25am
d