arena

Messi pilihan Klopp

Oleh Agensi

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp memilih Lionel Messi berbanding Cristiano Ronaldo, sekali pun bintang Juventus itu memilik pakej lengkap sebagai 'pemain sempurna'.

Bintang Barcelona, Messi serta Ronaldo diiktiraf seluruh dunia antara dua pemain terbaik sepanjang zaman malah persoalan mengenai antara mereka siapa yang lebih baik masih kekal menjadi perdebatan.

Ketika Klopp memilih Messi, pengendali Jerman itu kagum dengan kedua-dua pemain yang mendominasi pada era mereka apabila memenangi 11 daripada 12 anugerah Ballons d'Or yang lalu.

Klopp mengagumi bentuk fizikal Ronaldo, tetapi berkata Messi mampu menampilkan magis dalam keadaan yang nampak mudah.

"Pada saya Messi, tapi saya tidak dapat menafikan untuk meminati Ronaldo," katanya kepada freekickerz di saluran YouTube.

"Kesimpulannya jelas. Kami sudah beraksi menentang dua pemain berkenaan dan kedua-duanya sangat sukar untuk disekat.

"Tapi Messi berdepan sikit kekurangan dari segi fizikal. Jika anda bayangkan pemain sempurna, ia mungkin pada ketinggian dimiliki Ronaldo, dia boleh melompat lebih tinggi dan lari sepantas yang mampu.

"Malah kesemuanya akan digabung dengan sikap keseluruhan yang profesional dan sempurna, ia mungkin lebih baik.

"Pada sisi lain fizikal Messi membantu aksinya kelihatan ringkas. Malah saya meminatinya mungkin kerana peranan serta impak dimainkan ketika beraksi di padang. Tapi Cristiano juga seorang pemain yang luar biasa.

"Ia sememangnya sukar, tapi apa yang sama serta dimiliki kedua-duanya adalah kemampuan mereka meninggalkan kesan yang lama dalam satu masa.

"Terdapat juga beberapa pemain muda yang mempunyai potensi yang sama, tapi untuk melakukannya pada tempoh waktu seperti mereka adalah lebih menakjubkan."

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 10:28am
d