arena

BAM tunggu lampu hijau

Oleh Ferzalfie Fauzi

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) hanya menunggu lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan atlet Program Road to Tokyo (RTT) 2020 memulakan latihan awal Jun ini.

Menurut Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, KBS dan MKN dijangka mengadakan mesyuarat selepas sambutan Aidilfitri dan selepas itu barulah mereka akan memutuskan atlet RTT boleh berlatih atau tidak seawal Jun.

"BAM mempunyai lapan sehingga 12 pemain RTT, jadi bagi kami ia sangat mudah iaitu menunggu kelulusan dari KBS dan MKN terlebih dulu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Katanya, selepas mendapat lampu hijau barulah pihak mereka akan mengadakan Mesyurat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CNT) sama ada melalui sidang video ataupun seperti kebiasaan.

"Setakat ini belum ada tarikh, kami di pihak BAM hanya menunggu saja," katanya.

Kelmarin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan atlet di bawah Program RTT 2020 dijangka dapat meneruskan semula latihan mereka seawal minggu pertama Jun.

MOM berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk merealisasikan perkara itu.

Antara pemain yang berada pada landasan tepat untuk melayakkan diri ke Olimpik Tokyo ialah Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita).

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 8:01pm
d