arena

Covid-19: Piala Sultan Selangor dibatalkan

Oleh Norzamira Che Noh

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk membatalkan edisi Piala Sultan Selangor pada tahun ini susulan pandemik, Covid-19.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office, perlawanan antara Selangor dan Singapura yang amat dinantikan itu dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 15 Ogos nanti.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira kesihatan dan keselamatan peminat kedua-dua pasukan.

"Baginda berharap peminat akan menerimanya dan kekal selamat serta waspada semasa penularan wabak Covid-19 ini.

"Baginda tidak mahu perlawanan diadakan di stadium kosong kerana Piala Sultan Selangor adalah mengenai penyokong Selangor dan Singapura yang memainkan peranan penting dalam perlawanan itu dan ia akan terus berlangsung begitu.

"Insya-Allah, edisi Piala Sultan Selangor seterusnya akan dilangsungkan pada 2021," katanya kenyataan itu.

Piala Sultan Selangor mula diperkenalkan pada tahun 2001 dan diadakan secara tahunan.

Pada edisi ke-18 tahun lalu, pasukan pilihan Selangor menjuarai kejohanan berkenaan dengan menewaskan pilihan Singapura di Stadium Shah Alam.

Sebanyak tiga kejuaraan dipertaruhkan iaitu Piala utama, Piala Veteran dan Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 9:48pm
d