arena

Malek Noor bantu tabung KAFA

Oleh Syazwan Msar

MASALAH kewangan yang dihadapi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain import mendapat perhatian pelbagai pihak.

Antara yang menghulurkan bantuan adalah bekas jaguh bina badan negara, Datuk Abdul Malek Noor yang bersimpati terhadap kesusahan dilalui pasukan dari negeri pantai timur itu.

Malah, juara enam kali bina badan Asia itu turut meminta orang ramai terutama rakyat Kelantan menghulurkan sumbangan bagi mengelak skuad The Red Warrior itu berhadapan laluan berliku termasuk gagal beraksi pada musim depan.

"Saya sudah menghulurkan sumbangan kepada tabung untuk pasukan Kelantan dan anda bila lagi mahu berbuat demikian? Mari bersama membantu Kelantan yang melalui detik sukar ketika ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid memaklumkan setakat ini tabung terbabit berjaya mengumpul RM9,852 menerusi sumbangan orang ramai secara atas talian.

Sebelum itu, bagi menyelamatkan masa depan bola sepak di bumi Kelantan daripada terkubur, KAFA akhirnya terpaksa memohon sumbangan orang ramai khususnya penyokong setia skuad The Red Warriors.

Kutipan sumbangan itu bagi membayar tunggakan gaji bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh sebulan yang akan berakhir pada 23 Mei ini.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 11:34pm
d