arena

Bawa padah

Oleh Syazwan Msar

AWAS kepada sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) termasuk dua bertaraf gergasi apabila sedikit kesilapan memandang remeh tuntutan pemain import boleh membawa padah hingga tidak dapat beraksi dalam perlawanan kompetitif.

Setakat ini, PDRM, Terengganu, Melaka, Kelantan dan terbaharu Kedah terpalit dengan isu tunggakan gaji apabila ada antaranya gagal berbuat demikian sejak Febuari lalu.

Melihat kepada situasi semasa, PDRM masih lagi membuat pembayaran secara ansuran kepada pemain mereka termasuk awang import dengan nilai keseluruhan lebih setengah juta.

Melaka pula baru-baru ini dipalit dengan isu kegagalan membayar tunggakan gaji tahun lalu berjumlah RM800,000 selain turut menanggung hutang di atas kegagalan membayar gaji pemain sejak Februari lalu.

Skuad Terengganu dikhabarkan masih lagi gagal menjelaskan tunggakan gaji bekas pemain sejak tahun 2018, selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta cukai pendapatan.

Juara Piala FA musim lalu, Kedah pula terpalit isu tunggakan gaji sejak Februari lalu.

Jika pasukan terbabit gagal menyelesaikan tunggakan gaji dan pemain import membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIfa), mereka berdepan risiko digantung badan induk bola sepak dunia itu seperti yang berlaku kepada Perlis sebelum ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam meminta setiap pasukan Liga M lebih peka dengan sebarang tuntutan daripada pemain import bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan susulan.

"FAM bersedia memberikan khidmat nasihat kepada pasukan apabila mereka berhadapan dengan tuntutan daripada pemain import menerusi Fifa.

"Ada terma tertentu yang mungkin pasukan atau kelab terlepas pandang seterusnya FAM boleh memberi khidmat nasihat sewajarnya bagi mengelak mereka dikenakan tindakan atau hukuman lebih berat," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) terpaksa melunaskan tunggakan gaji berjumlah lebih RM600,000 kepada bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus yang pernah beraksi selama dua musim dari 2018-2019.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 6:20am
d