arena

Terima padah angkara beli ubat gigi

Oleh AFP

JURULATIH Augsburg, Heiko Herrlich terpaksa diketepikan pada aksi pertama Bundesliga yang bersambung hujung minggu ini selepas melanggar peraturan kuarantin dengan keluar membeli ubat gigi.

Herrlich berusia 48 tahun bakal tampil kali pertama sebagai jurulatih kelab sedang bergelut itu menentang Wolfsburg selepas dua bulan berehat susulan pandemik koronavirus.

"Saya akui kesalahan meninggalkan hotel," kata Herrlich yang pergi ke pasar raya untuk membeli ubat gigi dan krim kulit.

"Dalam situasi ini, saya sepatutnya menjadi contoh kepada pasukan dan masyarakat."

Herrlich yang menjalani rawatan ketumbuhan otak pada 2000 mengakui: "Saya pesakit yang berisiko, secara jujurnya."

Katanya: "Saya silap meninggalkan hotel. Walaupun saya mematuhi semua langkah pencegahan dan kebersihan, saya sepatutnya tidak boleh melakukannya.

"Disebabkan kesalahan ini, saya tidak akan mengetuai sesi latihan esok (hari ini) dan tidak akan mengendalikan perlawanan menentang Wolfsburg pada Sabtu."

Bekas pemain kebangsaan Jerman itu mengambil alih tugas daripada Martin Schmidt awal tahun ini dengan mengikat kontrak sehingga 2022.

Augsburg hanya lima mata di atas zon penyingkiran dan Herrlich yang juga bekas penyerang Dortmund mengendalikan Bayer Leverkusen pada 2017-18.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 8:32am
d