arena

Messi sedia ambil risiko

Oleh AFP

LIONEL Messi berkata dia selesa apabila pemain bola sepak kembali dapat beraksi tatkala La Liga bersedia untuk menyambung saingan musim ini bulan depan.

Presiden La Liga, Javier Tebas mencadangkan 12 Jun adalah tarikh paling sesuai untuk menyambung semula saingan.

Barcelona sekarang ini menduduki tangga terasa liga, berkelebihan dua mata di depan Real Madrid.

Pemain di Sepanyol sudah memulakan latihan secara individu di padang latihan dengan lima pemain sudah pun dikuarantin selepas diuji positif Covid-19.

"Risiko penularan wabak ada di mana-mana. Apabila anda meninggalkan rumah risikonya sudah ada. Jadi saya rasa anda tidak boleh memikirkan perkara ini terlampau mendalam kerana selepas itu anda tidak akan boleh pergi ke mana-mana.

"Bagaimanapun, kami juga memahami ia sangat penting untuk mematuhi protokol dan mengambil setiap langkah pencegahan. Kembali menyambung latihan adalah langkah pertama tapi kita tidak harus berasa berpuas hati dan kita mesti terus mengambil langkah berjaga-jaga," kata Messi.

Messi juga ada bercakap mengenai penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez, yang dikatakan bakal ditandatangani Barcelona hujung musim ini.

Martinez dikatakan sebagai pengganti jangka panjang Luis Suarez, 33.

"Secara jujurnya saya tidak pasti sama ada perundingan sudah berjalan atau belum.

"Lautaro adalah seorang penyerang hebat, kerana dia sangat lengkap. Dia kuat, handal menggelecek, bijak menghidu peluang dan tahu bagaimana untuk menghalang bola dari dirampas," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 7:06pm
d