arena

Zulkifli perlu masa umum pasukan baharu

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS bebas sepenuhnya daripada penggantungan pada Mac lalu, bekas tekong skuad kebangsaan, Zulkifli Abdul Razak belum memikirkan lagi pasukan bakal diwakilinya dalam Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) musim ini.

Ini kerana dia akui aksinya sedikit 'berkarat' kerana sudah lama tidak menyertai perlawanan kompetitif sejak digantung tahun lalu.

"Setakat ini saya belum memikirkan lagi pasukan bakal diwakili dalam STL musim depan walaupun sudah ada beberapa tawaran daripada pasukan yang mahukan khidmat saya.

"Antara pasukan berkenaan termasuk negeri kelahiran Terengganu di samping Kelantan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

"Mungkin sedikit masa lagi sebelum Jun nanti saya akan umumkan sama ada mahu terus beraksi dalam saingan liga utama dalam negara itu ataupun bersara seketika," ujar Zulkifli.

Tahun lalu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju meringankan hukuman penggantungan dua bekas tekong negara, Zulkifli dan Syahir Rosdi daripada 24 bulan menjadi sembilan bulan sahaja.

Penggantungan dua tekong emas negara itu atas alasan disiplin tamat pada 26 Mac lalu berbanding hukuman asal digantung selama dua tahun sebelum ini sehingga 26 Jun 2021 selepas membuat rayuan.

Namun pemain berkenaan perlu melakukan kerja amal selama 45 jam membantu dalam pembangunan sukan itu.

PSM juga bersetuju memberikan kelonggaran untuk mereka beraksi tetapi khusus mewakili majikan masing-masing sahaja, iaitu Syahir bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) manakala Zulkifli dengan majikannya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Berdasarkan rekod dua pemain itu bersama Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias menamatkan kemarau emas sepak takraw antara regu Sukan Asia selama 24 tahun apabila berjaya menewaskan tuan rumah, Indonesia di pentas akhir Sukan Asia 2018.

Kali terakhir skuad sepak takraw memenangi pingat emas pada 1994 ketika Sukan Asia di Hiroshima, Jepun.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 12:38pm
d