arena

Emery dedah 'tembelang' Ozil

Oleh Agensi

BEKAS pengurus Arsenal, Unai Emery mendedahkan Mesut Ozil tidak mempamerkan komitmen tinggi ketika dia mengendalikan pasukan di Stadium Emirates.

Emery dipecat pada November lalu dengan Ozil hanya tampil dalam tujuh perlawanan musim 2019/20.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, pemain kebangsaan Jerman terbabit perlu menyalahkan diri sendiri dan mendakwa rakan sepasukan meragui kewibawaan Ozil untuk menjadi salah seorang ketua kumpulan.

"Pada akhirnya dia perlu memandang dirinya sendiri. Sikap dan komitmennya," kata Emery kepada Mail Online.

"Saya cuba sebaiknya membantu Ozil. Sepanjang karier saya, pemain berbakat menjadi keutamaan dan mereka mempamerkan aksi terbaik untuk saya.

"Saya sentiasa positif dengan harapan dia dapat membabitkan diri tetapi dengan sikap dan tahap komitmennya jelas tak mencukupi.

"Salah seorang kapten mungkin Ozil tetapi bilik persalinan tak mahu dia menjadi kapten. Tahap komitmennya tidak menepati ciri seorang kapten dan itu bukan saya tentukan tetapi pemain yang tentukan."

Menurut Emery, Ozil turut buat hal apabila dia tidak menghadiri sesi perbincangan dengan pengurus selepas kekalahan kepada Chelsea pada final Liga Europa tahun lalu.

"Hanya dia sahaja tidak hadir dan ini yang kami perkatakan mengenai komitmen. Apabila komitmen 100 peratus, semua orang datang."

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 2:28pm
d